KUALA LUMPUR – Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bakal mewujudkan dua sistem atau dua Dasar Pendidikan dalam sesebuah negara dan perkara ini tidak selari dengan semangat perpaduan yang menjadikan keluhuran perlembagaan sebagai teras negara.
Oleh itu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berharap Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melayan tuntutan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Naib Presidennya, Mohd Noor Azib Asmangi berkata, pihaknya sejak dahulu sehingga hari ini konsisten menolak pengiktirafan UEC tidak kira parti mana yang memerintah.
Tambahnya, tindakan Dong Zong yang begitu cepat mendesak pengiktirafan UEC kerana ingin mengambil peluang daripada manifesto parti Pakatan Harapan (PH) dan juga sikap keterbukaan Perdana Menteri ke-10 dalam mendengar semua pandangan.
Baru-baru ini Dong Zong menyatakaan akan bertemu dengan Menteri Pendidikan baharu untuk memberi cadangan supaya mengiktiraf UEC.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dong Zong, Leong Seng Yee, pihaknya akan meminta kerajaan mempertimbangkan perkara itu kerana sijil tersebut sudah diterima di universiti swasta dan luar negara.
Bagaimanapun, kenyataan Dong Zong itu telah menyebabkan beberapa pihak kurang senang dan menyifatkan ia sebagai rakus dan mahu mengambil peluang. – MalaysiaGazette