ringgit malaysia
Mata wang Malaysia

KUALA LUMPUR – Ringgit meneruskan momentum meningkatnya berbanding dolar AS hari ini dengan ditutup pada 4.38, paras paling tinggi yang dicatatkan sejak Jun tahun ini, kata seorang peniaga.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, peningkatan ringgit itu disokong oleh sentimen lemah dolar AS, harapan tinggi pembukaan semula China dan keyakinan menjelang pengumuman Kabinet Malaysia.

Pada 6 petang, unit tempatan mengukuh kepada 4.3835/3925 berbanding dolar AS daripada paras 4.4030/4100 pada Khamis.

Kali terakhir ringgit diniagakan pada paras ini adalah pada Jun tahun ini pada 4.3835 berbanding dolar AS.

Innes berkata para peniaga pertukaran asing terus mengunjurkan bahawa kitaran kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) (Fed) akan berakhir dan merasakan data gaji bukan ladang AS yang kukuh boleh menyediakan sokongan kepada dolar AS.

“Oleh itu, pengeksport tempatan terus menjual dolar manakala peniaga mata wang tempatan terus mengambil kira ringgit yang kukuh dan ini dijangka menjadi trend sehingga ke akhir tahun,” katanya kepada Bernama sambil menambah ringgit juga dijangka dipengaruhi oleh pergerakan mata wang serantau,

Innes berkata pasaran domestik juga mengukuh, mendapat sokongan daripada jangkaan kestabilan politik dengan pelantikan Kabinet baharu dijangka membuka laluan bagi belanjawan yang mesra ekonomi dan pasaran.

Sementara itu ringgit menyusut berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding euro kepada 4.6136/6231 daripada 4.5976/6049 pada Khamis dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2463/2535 daripada 3.2420/2474.

Ringgit jatuh berbanding pound Britain kepada 5.3781/3892 daripada 5.3501/3586 dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.2698/2768 daripada 3.2282/2336 sebelumnya. – BERNAMA