Da'i Syed sah bergelar suami kepada pengacara, Nurulhana Ismail.

KUALA LUMPUR – Hanya sekali lafaz pendakwah bebas, Da’i Syed sah bergelar suami kepada pengacara, Nurulhana Ismail pada majlis pernikahan di Masjid Ibnu Mas’ud, Kuala Lumpur hari ini.

Dalam majlis tertutup itu, pemilik nama penuhnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful dinikahkan bapa pengantin perempuan, Ismail Dahwan dan disaksikan Penolong Pendaftar Nikah, Mohd Nazri Yacob.

Pasangan itu tidak berbalas dulang hantaran kerana ia sudah dijalankan terlebih dulu sewaktu majlis pertunangan mereka sebelum ini.

Hana juga menerima mas kahwin seutas gelang emas namun jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Syed yang juga penyanyi itu dikenali umum selepas penyertaan dalam rancangan realiti agama, Da’i Pendakwah Nusantara musim keempat pada 2016.

Sebelum ini, berita pertunangan Syed dikongsi Umie Aida melalui akaun Instagram miliknya baru-baru ini.

Namun, Syed dipercayai sudah bertunang lebih awal iaitu pada 23 Oktober lalu.

Sementara itu, pasangan itu bakal diraikan dalam majlis resepsi di Shah Alam malam ini. – MalaysiaGazette