Wan Rosdy Wan Ismail

ROMPIN – Wanita yang sarat mengandung di Pulau Tioman kini boleh bersalin di Klinik Kesihatan Kampung Tekek, di Pulau Tioman berikutan klinik tersebut telah dinaik taraf.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jika dahulu penduduk kampung hanya boleh melahirkan anak di klinik kesihatan di Mersing, Johor berikutan tiada pakar perubatan di pulau tersebut.

“Seorang doktor pakar akan ditempatkan di klinik berkenaan selain mengetuai wad bersalin.

“Saya percaya kemudahan ini membantu dan dimanfaatkan oleh penduduk di kawasan Pulau Tioman,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah beliau, klinik bagi menempatkan ibu-ibu bersalin di Pulau Tioman mula beroperasi sejak dua minggu lalu dan ia merupakan usaha calon Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Mohd Johari sebelum pembubaran DUN lagi.

Sementara itu, Pengurus Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Datuk Idros Yahya berkata, sebanyak RM3 juta diperuntukan bagi menaik taraf klinik bersalin itu.

“Sebelum ini terdapat empat klinik kesihatan di empat kampung di Pulau Tioman, dengan adanya klinik bersalin ada kemudahan pakar perubatan memudahkan pesakit di sini,” ujarnya ketika dihubungi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast