Saya merujuk kepada “5 Titah Raja-Raja Melayu”, khususnya nombor 3 yang mengatakan: “Pelantikan ahli-ahli JAC (Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) – ditambah) tidak dibuat oleh Perdana Menteri sebaliknya, diberi kepada beberapa institusi lain seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.”
Kebetulan pada masa undang-undang itu dibuat, saya adalah Ketua Hakim Negara (KHN) dan tahu juga mengenainya. Maka, saya merasa bertanggungjawab untuk memaklumkan apa yang berlaku dan memberi pencerahan mengenainya.
Rang undang-undang itu digubal oleh Majlis Peguam dan dibawa naik untuk dijadikan undang-undang oleh Dato’ Zaid Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada masa itu. Tan Sri Gani Patail, Peguam Negara pada masa itu, memberitahu saya “I have nothing to do with it.” Dalam kata-lain lain, Jabatan Peguam Negara (JPN) yang sepatutnya menggubalnya, telah diketepikan.
Apabila salinan draf itu diberi kepada saya, saya menulis satu nota menentangnya. Saya menentangnya sebab,mengikut draf itu, majoriti ahli-ahli suruhanjaya itu adalahpeguam (practising lawyers) yang mewakili Majlis Peguam dan Persatuan-Persatuan Undang- Undang/Peguambela Sabah dan Sarawak. Saya menghujahkan, jika undang-undang itu dilaksanakan, ahli-ahli tersebut akan lebih mengutamakan calon-calon yang pendirian mereka mengenai tafsiran undang-undang dan peranan Hakim-Hakim dan Badan Kehakiman adalah serupa dengan Majlis Peguam untuk dilantik atau dinaikkan pangkat.
Pendirian Majlis Peguam boleh dilihat daripada kenyataan-kenyataan akhbar yang dikeluarkannya yang menyerupai pendirian orang-orang dan NGO-NGO bukan Islam, PH, khususnya DAP dalam hampir semua isu. Ahli-ahli majlis dan persatuan-persatuan peguam yang berpendirian seperti itulah yang akan dilantik sebagai majoriti ahli-ahli SPK. Mereka pula tentulah akan mengutamakan calon-calon yang berpendirian serupa dengan mereka untuk dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman dan Hakim untuk dinaikkan pangkat hingga menjadi KHN.
Saya juga menghujahkan bahawa akibatnya, Hakim-Hakim akan, “melutut” kepada peguam-peguam yang menjadi ahli-ahli suruhanjaya itu apabila peguam-peguam itu hadir di hadapan mereka dalam sesuatu kes di mahkamah. Paling kurang, ia akan menyebabkab rasa tidak adil kepada pihak sebelah lagi. Saya, bersama-sama TS Gani Patail pergi berjumpa dengan Tun Abdullah Badawi, Perdana Menteri pada masa itu, selama lebih daripada dua jam di pejabatnya. Saya bertanya beliau “Why are you giving away your prerogative to the Bar Council?” Beliau tidak menjawab.
Beberapa hari kemudian, saya dan TS Zaki, pada masa itu Presiden Mahkamah Rayuan (PMR), pergi berjumpa dengan DS Najib, pada masa itu TPM, di rumahnya. Saya mengulangi hujah-hujah saya. Beliau berkata ia akan diteruskan tetapi keahliannya akan ditimbang semula.
Apabila undang-undang itu diluluskan, memang betul, ahli-ahli SPK terdiri daripada lima orang ahli ex officio (KHN, PMR, HB(M), HB (S dan S) dan seorang Hakim Mahkamah orang yang terkemuka, yang bukan merupakan anggota eksekutif atau perkhidmatan awam lain, yang dilantik oleh Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguam Bela Sarawak, Peguam Negara Persekutuan, Peguam Besar perkhidmatan perundangan Negeri atau mana-mana badan berkaitan yang lain.”
Perhatikan, sebelum mereka yang berempat itu dilantik, PM dikehendaki berunding dengan Majlis Peguam dan Persatuan-Persatuan Undang-Undang/Peguambela (Sabah dan Sarawak) selain daripada Peguam Negara dan Peguam-Peguam Besar Sabah dan Sarawak dan badan-badan lain yang berkaitan.
Lantikan pertama terdiri daripada saya (mantan KHN), TS Steve Shim (mantan HB (S dan S), TS Ainum Said, (mantan Peguam Negara) dan TS Lal Chand Vohrah, (mantan Hakim Mahkamah Tinggi dan International Court of Justice).
Perhatikan, walaupun akta itu tidak melarang seorang practising lawyer dilantik sebagai ahli SPK, tidak seorang pun dilantik. Ertinya PM bersetuju dengan hujah-hujah saya. Kesemua ahli-ahli SPK pada masa itu tahu selok belok pekerjaan hakim. Empat orang ahli bukan ex-officio itu semuanya tidak mempunyai apa-apa kepentingan.
SPK berjalan dengan baik. Lihat Judicial Appointments Commission As I See It (28 01 2012) (boleh didapati dalam laman web saya.)
Apa yang dicadangkan sekarang adalah ulangan apa yang telah berlaku 14 tahun dahulu. Masalah yang akan berbangkit jika ia dilaksanakan telah difahami dan dielakkan. Kini ia hendak dilakukan semula. Saya percaya Raja-Raja tidak tahu apa yang telah berlaku itu.
Pada 2 Disember 2022, Sinar Harian melaporkan berita ringkas di muka hadapan di bawah tajuk “Bebas dan Berkecuali.” Saya percaya Sinar Harian juga tidak tahu mengapa keahlian SPK itu begitu, malah pada masa itu, ia belum wujud lagi pun. Presiden Majlis Peguam dan Ketua Pasukan Rasuah Busters yang dipetik sebagai mengalu-alukan cadangan itu juga tentu tidak tahu mengenai kisah yang saya ceritakan ini. Presiden Majlis Peguam tentu menyokong kerana cadangan itu menguntungkan majlis itu. Tetapi, apakah jawapan beliau kepada apa yang dikatakan oleh Zainur Zakaria, mantan Presiden Majlis Peguam lebih dari sedekad dahulu dalam satu seminar? Katanya, “Sayalah orang pertama yang akan membantah jika peguam di pihak lawan saya adalah ahli SPK”? Pasukan Rasuah Busters tidak berkenaan di sini. Di sini tidak ada rasuah.
Adakah peguam-peguam dan ahli-ahli Parlimen itu akan lebih bebas dan berkecuali daripada ahli-ahli yang ada sekarang?
Mengenai ahli-ahli Parlimen sebagai ahli SPK, selain daripada apa yang saya telah sebutkan di atas, saya katakan, melainkan beberapa orang seperti anak-anak mendiang Karpal Singh, berapa orangkah yang membaca alasan penghakiman? Mereka tidak tahu prestasi Hakim-Hakim yang hendak dinaik pangkat itu. Bagi mereka, sesiapa yang namanya selalu keluar dalam media massa adalah terkenal. Seorang Hakim yang memberi penghakiman yang memihak kepada partinya adalah baik, jika sebaliknya, tidak. Itulah ukuran yang akan digunanya. – Lihat Pemilihan Calon-calon Hakim Oleh Parlimen: Satu Ulasan ( 21 10 2018) (boleh didapati dalam laman web saya.)
Berlainan daripada Hakim-Hakim dan mantan-mantan Hakim yang melihat sendiri prestasi pegawai-pegawai kehakiman dan perundangan dan peguam-peguam yang hendak dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman, ahli-ahli Parlimen itu juga tidak mengetahui prestasi mereka sebagai peguamcara dan peguambela. Mereka juga akan bergantung kepada laporan media massa: siapa yang namanya selalu keluar, baguslah dia.
Pada pandangan saya, peruntukan yang ada sekarang tidak perlu dipinda. Tetapi, jika mereka dikehendaki dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, tidak mengapalah. Yang lain janganlah dipinda. Dengan peruntukan yang ada sekarang pun, seorang peguam yang sudah bersara sepenuhnya, yang namanya sudah tidak digunakan lagi oleh firma lamanya dan dia tidak mempunyai apa-apa saham lagi dalam firma itu atau yang lainnya, boleh dilantik sebagai ahli SPK.
Saya percaya selain daripada beberapa nama yang saya telah sebutkan itu, tidak ada sesiapa yang mengetahui hal ini. Diharapkan maklumat dan pencerahan ini akan memberi manfaat kepada semua yang akan membuat keputusan mengenainya.
TUN ABDUL HAMID merupakan mantan Ketua Hakim Negara.
[email protected] http://www.tunabdulhamid.my https://tunabdulhamid.me