Foto: IPD Sentul

KUALA LUMPUR – Pemeriksaan ke atas individu atau kenderaan mencurigakan adalah tugas utama polis bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terjamin di tempat awam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya sentiasa berhemah dalam menjalankan tugas mencegah jenayah dengan tidak mengamalkan sebarang unsur perkauman.

“Orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan tugas dan kewibawaan pihak polis,” katanya dalam kenyataan beliau hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan ketidakpuasan hati seorang pengguna Twitter bahawa beliau dan rakan-rakannya diperiksa secara rambang oleh beberapa anggota polis dalam kejadian di Jalan Cenderuh, Taman Bamboo, di sini, semalam.

Mengulas mengenai kejadian itu, Eng Lai berkata, pihaknya terkesan individu tersebut memaparkan ciapan tangkap layar aduannya itu yang turut dikongsikan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pada jam 11.20 malam

“Hasil siasatan yang dijalankan polis mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam ketika sekumpulan lima anggota polis First Response Team (FRT) dari Balai Polis Jinjang menjalankan rondaan cegah jenayah.

“Semasa terlibat rondaan, anggota polis telah ternampak empat lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan tersebut.

“Apabila melihat kehadiran pihak polis, mereka dengan segera telah memasuki kereta masing-masing, selepas memperkenalkan diri, pihak polis meminta kad pengenalan mereka untuk membuat semakan rekod jenayah dengan Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul,” ujar beliau.

Namun, tambah Eng Lai, salah seorang dari individu tersebut meminta anggota tersebut untuk bercakap dengan peguamnya bagi tujuan pengesahan dan pihak polis telah menjelaskan tujuan pemeriksaan dilakukan.

Menurutnya, setelah selesai pemeriksaan, kesemua mereka dibenarkan beredar dari lokasi pemeriksaan dan polis tidak menemui sebarang kesalahan daripada pemeriksaan yang dijalankan ke atas individu terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast