Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsan dan Industri (MITI) akan mengemukakan cadangan supaya kerajaan mewujudkan dana pelaburan khas dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula di Parlimen.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif berkenaan perlu demi menarik lebih banyak pelaburan yang akan dapat menjana peluang pekerjaan profesional bergaji lebih tinggi.

Menurut beliau, industri-industri tumpuan adalah industri elektrik dan elektronik (E&E) yang merangkumi pembangunan aplikasi berasaskan teknologi frekuensi radio dan bluetooth bagi industri automotif; penarikan pelabur sektor E&E ke Malaysia; dan pembangunan industri peranti perubatan.

“Antara industri berasaskan teknologi lain yang bakal diberi tumpuan termasuk industri aeroangkasa, industri kimia dan petrokimia, nanoteknologi, teknologi kesihatan (health-tech) dan pembuatan pintar (smart manufacturing),” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, usaha berkenaan boleh dilaksanakan dengan langkah-langkah pembangunan modal insan yang bakal menyumbang kepada penstrukturan semula ekosistem perdagangan negara bagi jangka masa sederhana dan panjang.

Terdahulu Tengku Zafrul berkata, sebanyak tiga keutamaan bakal diberikan beliau sebagai peneraju MITI.

Ia adalah memastikan perdagangan kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama yang teguh untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negara.

“Kedua, kita perlu memulihkan keyakinan pelabur dan meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) yang telah lama menjadi pembina utama daya tahan ekonomi, dan juga merupakan salah satu sumber tukaran matawang asing terbesar negara.

“Ketiga, kita perlu memastikan bahawa penggubalan dan atau pelaksanaan mana-mana perjanjian perdagagan dua hala mahupun pelbagai hala akan memberikan nilai dan kelebihan yang padu kepada pemain domestik di dalam rantaian bekalan Malaysia terutamanya bagi PKS kecil dan mikro,” tambah beliau.

Beliau memberi jaminan akan menggunakan pengalamannya dalam bidang korporat dan di Kementerian Kewangan (MOF) untuk menjadikan Malaysia destinasi pilihan pelabur dalam masa yang sama  antara negara yang kekal berdaya saing global dari segi perdagangan. – MalaysiaGazette