Sampah sarap termasuk sisa makanan penuh di ruang bawah Flat Taman Teluk Indah, Perai, Pulau Pinang.

SEBERANG PERAI – Meskipun pernah mendapat jolokan pangsapuri terkotor di Pulau Pinang sejak 2018 namun penghuni Flat Taman Teluk Indah masih tidak peduli isu kebersihan di kawasan kediaman mereka.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati senario kawasan kediaman itu tidak ubah seperti tempat pelupusan sampah.

Ia susulan sampah sarah termasuk sisa makanan serta lampin pakai buang bayi penuh di ruang bawah flat tersebut.

Sikap penghuni flat punca kawasan kediaman  kotor macam tempat pelupusan sampah.

Selain itu, ketika penulis menemu bual pekerja flat tersebut, ada penghuni bertindak membuang sampah dari tingkat atas ke bawah flat tersebut.

Pekerja pembersihan flat, JA. Robert, 36, berkata, setiap dua jam dia perlu membersihkan tingkat bawah flat tersebut dan sekiranya lewat sampah akan penuh sehingga menyukarkannya untuk membersihkan kawasan itu.

Robert.

Katanya, dalam tempoh lapan jam bekerja sehari, dia perlu memungut sampah dalam anggaran 30 tong.

“Sudah tiga tahun saya kerja sebagai tukang cuci di sini, tiada perubahan langsung dalam kalangan penduduk meskipun pelbagai tindakan diambil oleh kerajaan negeri serta pihak pengurusan flat.

“Tidak cukup itu, bukan sahaja penghuni saya sendiri tidak berani sapu di bahagian bawah tanpa sebarang lindungan kerana pernah mendapat rawatan di hospital susulan luka di bahagian kaki akibat dibaling sampah berisi botol kaca,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Blok E1 Flat Taman Teluk Indah di Perai tidak ubah seperti tapak pelupusan sampah.

Menurut Robert, kira-kira 60 peratus penduduk di flat itu terdiri daripada warga tempatan manakala bakinya warga asing.

“Kamera litar tertutup (CCTV) juga dipasang bagi mengenal pasti individu yang membuang sampah namun penghuni bertindak memasang tirai di kaki lima membuatkan hanya gambar tangan yang dirakam berbanding muka pelaku,” katanya.

Difahamkan, flat 20 tingkat itu didiami lebih 1,000 penghuni.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, P. Ramasamy berkata, kerajaan negeri telah membelanjakan hampir RM2 juta untuk membersihkan, membaiki lif dan membayar bil utiliti di flat tersebut dalam tempoh 10 tahun lalu.

Ramasamy.

“Flat ini masih dalam proses penerimaan (receivership) dan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) tidak efisyen dan efektif dalam pengurusan bangunan.

“Pelbagai aspek dari Akta Pengurusan Strata telah dikaji dan tindakan akan diambil untuk memperbaiki pengurusan di flat itu,” katanya. – MalaysiaGazette