Seorang pekerja hotel dihukum penjara lima tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis methampethamine pada April lalu

MELAKA – Seorang pekerja hotel dihukum penjara lima tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis methampethamine pada April lalu.

Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Nur Azhar Hassim, 26, yang membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, beliau didapati memiliki dadah berbahaya jenis methampethamine seberat 36.2 gram yang disenaraikan di Bahagian III Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Kesalahan itu dilakukan di tepi Jalan PKAK 2, Hotel Metra Square, Ayer Keroh, Melaka pada kira-kira pukul 11.45 malam pada 9 April lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut seksyen 39A (1) ADB 1952 yang sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup dan 10 kali sebatan.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan selepas sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, menemui sebungkus plastik besar berwarna perak berisi dadah jenis methampethamine di dalam bakul motosikal milik tertuduh di tepi jalan berkenaan.

Terdahulu, tertuduh diwakili peguam, A.H. Mohamad Zulkiffly Abdul Hamid merayu hukuman ringan kerana anak guamnya baharu bekerja dengan pendapatan RM1,500 sebulan selain perlu membantu menyara ibu bapanya yang berniaga cendol.

Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin bagaimanapun mencadangkan mahkamah mengenakan hukuman berat mengambil kira kepentingan masyarakat selain ia adalah kesalahan berat.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman Hakim Darmafikri memerintahkan tertuduh dipenjara lima tahun bermula dari tarikh ditangkap 9 April lalu dan 10 sebatan. – MalaysiaGazette