Pensyarah UMT membimbang para peserja Jungle School.

KUALA  TERENGGANU – Keciciran dalam Pendidikan dalam kalangan anak-anak orang asli sentiasa mendapat perhatian pihak yang berwajib.

Ini selari dengan tuntutan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 4 (Menjamin pendidikan menyeluruh dan sama rata serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada masyarakat).

Terpanggil untuk sama-sama mencurah bakti kepada masyarakat pribumi di negeri Terengganu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui projek yang diilhamkan sebagai Projek Sekolah Rimba (Jungle School) dengan tujuan untuk bersama-sama para guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Berua, di Hulu Terengganu memupuk minat belajar dalam kalangan anak-anak orang asli di sini.

Dana bagi melaksanakan aktiviti pembelajaran secara tidak formal di luar waktu sekolah harian mereka ini sumbangan oleh Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia manakala dana bagi membina pondok Sekolah Rimba pula adalah sumbangan seorang individu yang turut perihatin terhadap tahap pendidikan anak-anak orang asli di Sungai Berua.

Masih terdapat anak-anak yang belum menguasai kemahiran membaca, manulis dan mengira terutamanya anak-anak di Tahap 1 sekolah rendah berkenaan.

Projek ini diketuai oleh Prof. Dr Khatijah Omar dari Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (IBTPL), UMT dan 9 orang lagi pensyarah serta seorang pembantu penyelidik bagi sama-sama merealisasikan dan menjayakan aktiviti pembelajaran Sekolah Rimba.

Pensyarah UMT bersama-sama para pelajar orang asli yang menyertai Jungle School.

Slot pembelajaran yang dirangka sebanyak 20 slot diisi dengan kandungan pembelajaran santai dalam usaha menarik minat anak-anak Orang Asli ini untuk belajar.

Antara pengisian slot pembelajaran berkenaan adalah Hutan Ini Milik Kita, Pasar Borong, Sing Along, Jom Masuk Hutan, Treasure Hunt & Show and Tell.

Sehingga kini sebanyak empat slot pembelajaran telah dilaksanakan dan aktiviti sekolah rimba ini turut pernah disertai sama oleh delegasi dari Sarawak Energy dan delegasi dari Universitas Ibnu Sina, Batam Indonesia. Pihak UMT sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak untuk bekerjasama atau untuk turut serta dalam aktiviti pembelajaran yang dilaksanakan.

Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri, Datuk Pkharuddin Haji Ghazali, bersama-sama pegawai-pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Terengganu dan guru-guru SK Sungai Berua turut hadir memeriahkan aktiviti pembelajaran santai Sekolah Rimba ini.

Keterujaan anak-anak jelas tergambar pada wajah para peserta Jungle School.

Lawatan beliau ke pondok Jungle School adalah sebahagian dari agenda lawatan kerja beliau ke Sekolah Kebangsaan Sungai Berua bagi melihat pengoperasian dan perkembangan sekolah berkenaan. Beliau turut positif dengan kewujudan pondok Sekolah Rimba ini dengan silibus pembelajaran yang tersendiri bagi menyokong pembelajaran anak-anak Orang Asli secara formal di sekolah.

Menilai pelaksanaan 4 slot pembelajaran santai yang telah dilaksanakan oleh Sekolah Rimba setakat ini yang mensasarkan 40 murid, kehadiran adalah antara 60-85%.

Ini adalah petanda baik bagi projek ini meneruskan usaha membantu pihak sekolah memperkasakan prestasi akademik murid di sekolah berkenaan dengan meningkatkan minat mereka terhadap aktiviti pembelajaran, dan seterusnya diharapkan dapat meningkatkan peratus kehadiran pelajar ke sekolah.

Semoga projek yang dilaksanakan selama dua tahun ini dapat memberi impak yang positif dan berterusan kepada murid-murid peribumi di Sungai Berua walaupun nanti ia sudah berakhir. – MalaysiaGazette