PARAS ringgit terendah yang pernah kita lalui dalam negara adalah RM4.71 berbanding 1 dolar Amerika Syarikat (A.S) yang telah dicatatkan pada tahun 1998 dimana Malaysia terkesan akibat aliran modal yang keluar secara besar-besaran oleh pelabur asing. Pada saat ini pula, kejatuhan nilai mata wang ringgit berada pada paras RM4.55 berbanding dengan satu dolar A.S. Ini menyebabkan ringgit telah susut 4.9% pada suku ketiga akhir 2022 dan Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan inflasi akan terus meningkat pada tahun hadapan.
Melihatkan kos harga barangan dan kos perniagaan terus melonjak ekoran penyusutan berterusan wang ringgit, Tun Dr Mahathir bin Mohamad sebelum ini telah mencadangkan supaya nilai ringgit sekali lagi ditambat pada dollar Amerika (USD). Cadangan ini di lihat tidak dipersetujui oleh Gabenor BNM sendiri iaitu Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus atas faktor ingin membenarkan kadar pertukaran yang lebih fleksibel diamalkan dalam mengimbangi penyesuaian terhadap sebarang kejutan luaran dengan lebih baik. Ia juga untuk memudahkan dasar penetapan monetari negara.
Bekas Menteri kewangan kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula mengatakan bahawa tambatan ringgit bukanlah suatu langkah yang ideal untuk dilaksanakan kerana mempunyai kesan negatif yang besar kepada ekonomi dalam masa jangka panjang. Beliau mengingatkan bahawa Malaysia masih menanggung kesan akibat dari ringgit ditambat pada dolar Amerika lebih 20 tahun lalu apabila ringgit tidak lagi diperdagangkan di peringkat antarabangsa.
Gesaan menambat ringgit pada dolar A.S menurut Dr. Sukudhew Singh (Bekas timbalan Gabenor BNM), berpotensi mendorong negara ke dalam krisis kewangan dan tidak wajar dipandang ringan. Beliau juga berkata apa yang sering dilupa untuk dinyatakan adalah apabila ringgit ditambat pada dolar A.S, negara kita perlu mempertahankan tambatan itu.
Menambat mata wang akibat penyusutan nilai merupakan mimpi ngeri buat pelabur di negara ini juga pada mereka yang berniat ingin melabur di Malaysia. Di situasi lain pula ia menyebabkan negara kehilangan kedaulatan monetari dalam mengurus dasar monetari berpandukan keadaan ekonomi negara kita sendiri dan bukan pada keadaan ekonomi negara yang menjadi sandaran kepada tambatan ringgit tersebut.
Tidak kurang juga ada yang berpendapat belenggu tekanan kos sara hidup dapat diakhiri jika sistem mata wang ciptaan A.S yang dipaksakan pelaksaannya ke atas seluruh negara sejak tahun 1971 lagi dihentikan atau jika nilai mata wang hari ini disandarkan pada sebarang komoditi berharga seperti emas dan perak dan bukan kepercayaan membuta tuli terhadap wang fiat.Amalan riba secara besar-besaran yang tercetus dari penggunaan wang fiat telah menyebabkan ketidakadilan dan penindasan kuasa besar ekonomi dunia terhadap masyarakat dunia.
Tun Dr Mahathir yang juga merupakan penyokong tegar komoditi emas pernah mencadangkan penggunaan dinar emas dan sistem barter dikembalikan semula sejak lebih 30 tahun lalu. Hasil dari saranan dan usaha beliau telah membuat ramai dalam kalangan para pemimpin Islam, penganalisis ekonomi, ahli akademik dan para cendekiawan Islam untuk kembali meneliti dan mengkaji kewajaran penggunaan dinar emas.
Menurut Mahathir, emas mempunyai nilai berbeza di setiap negara namun jika ianya digunakan sebagai mata wang dunia, perdagangan antarabangsa tidak akan terjejas. Hal ini kerana ia tetap boleh dijalankan dengan mudah berdasarkan pada nilai emas yang termaktub pada sesuatu negara itu. Tun menyuarakan kekecewaannya mengenai perdagangan antarabangsa yang hanya boleh dijalankan menggunakan satu jenis mata wang sahaja.
Selain itu, penggunaan dinar emas dilihat sebagai mengembalikan era kegemilangan Islam dan menjadi salah satu medium untuk menyatukan para pemimpin Islam sedunia. Langkah ini disokong oleh Sheikh Umar Ibrahim Vadillo yang berpendapat dinar emas mampu menjadi kaedah utama pembayaran kerana terdapat lebih satu billion umat Islam di dunia ini.Vadillo mengakui walaupun agak sukar untuk orang ramai termasuk umat Islam sendiri untuk menerima dinar emas sebagai kaedah pembayaran, namun perkara ini dilihat tidak mustahil
Buat masa ini, individu disarankan untuk menjadikan simpanan emas sebagai salah satu alternatif dan usaha bagi membantu menangani kesan kos sara hidup yang kian meruncing. Fenomena kejatuhan nilai ringgit dapat memberi kelebihan kepada para penyimpan emas kerana emas dilihat sebagai salah satu usaha menghadapi inflasi. Penurunan atau peningkatan harga emas tetap memberikan kelebihan berbeza pada penyimpannya. Justeru itu, emas dikatakan sesuai dijadikan sebagai simpanan jangka pendek mahupun jangka panjang.
Apabila emas dibeli, kita sebenarnya mengalihkan sejumlah duit dalam bentuk emas kerana emas itu sendiri adalah wang. Ia juga aset yang mudah cair dan laku seluruh dunia. Jika penggunaan wang ringgit diperlukan dengan segera, emas boleh dijual, digadaikan ataupun dipajak (ar-rahnu) bagi mendapatkan pinjaman. Walaupun sesuatu negara mengalami inflasi, namun nilai emas tidak mudah terjejas dengan inflasi tersebut selagimana ia dijadikan simpanan. Malah amat menguntungkan sesiapa yang menjadikannya sebagai aset kerana harganya tidak mudah menurun mengikut tempoh
berlakunya inflasi.
Emas juga dianggap sebagai pengekal kekayaan dan dapat mengelak dari berlakunya kebocoran wang bagi mereka yang sukar menyimpan atau boros berbelanja. Jadi ianya merupakan salah satu cara menyimpan wang yang terbaik. Lagipun, hal ini sememangnya benar bagi sesetengah orang kerana emas tidak mudah untuk dibelanjakan kerana ia perlu ditukar kepada wang tunai terlebih dahulu.
Azah Atikah Anwar Batcha
Penulis adalah Pelajar PhD dalam bidang Ekonomi Islam di UTM, Kuala Lumpur.