Chow Kon Yeow

SEBERANG PERAI – Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang dijangka diadakan pada Mei atau Jun tahun depan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia susulan semua negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) dilihat lebih cenderung untuk melengkapkan tempoh penuh lima tahun sebelum mengadakan PRN.

Jelas beliau, selain itu, tiada perbincangan tidak rasmi dibuat oleh pimpinan PH berhubung perkara itu setakat ini.

“Kami mengambil kira cuti Tahun Baru Cina, Hari Raya, cuti Hari Raya Haji, serta peperiksaan SPM dan faktor lain sebelum membuat keputusan.

“Jadi masa yang sesuai dilihat ialah bulan Mei atau Jun.

“Yang pasti, ia bukan perbincangan untuk mengadakan kerjasama dengan Barisan Nasional tetapi lebih kepada proses pemulihan selepas Pilihan Raya Umum Ke15,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai negeri di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN)  mahu mengadakan PRN dalam masa terdekat, Kon Yeow berkata, ia terpulang kepada keputusan parti tersebut.

“Kita ambil maklum akan keinginan negeri-negeri di bawah PN untuk mengadakan PRN lebih awal.

“Bagaimanapun, bagi negeri-negeri di bawah PH, hanya Majlis Presiden yang boleh menentukan tarikh sesuai untuk mengadakan PRN,” ujar beliau.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, Kerajaan Pulau Pinang sedia mengadakan perbincangan berhubungan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) agar Pilihan Raya Negeri (PRN) dilakukan serentak dengan Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Selangor.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, mengikut perlembagaan, DUN Pulau Pinang akan tamat pada 2 Ogos 2023 dan PRN perlu diadakan dalam 60 hari selepas itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini melaporkan PRN membabitkan enam negeri dijangka menelan kos  RM450 juta sekiranya diadakan serentak, manakala ia akan menelan kos tambahan RM100 juta jika dibuat secara berasingan. – MalaysiaGazette