KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mengingatkan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy bahawa Kerajaan Persekutuan yang sedang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Kerajaan Perpaduan bukan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Oleh sebab itu, Kabinet yang baru diumumkan oleh Perdana Menteri menuntut proses dan juga pertimbangan yang berbeza dan lebih kompleks, bukan saja untuk memilih jemaah menteri yang representatif, cekap dan wibawa tetapi juga yang akan memberikan kestabilan kepada kerajaan, kata Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Razak Ridzuan.
Sehubungan itu, Ramasamy harus menekuni dan meneladani sifat jiwa besar dan pengorbanan pimpinan utama DAP yang menyokong kepimpinan Anwar tanpa syarat, demi kestabilan politik, keharmonian masyarakat dan kemakmuran negara.
Malah, Ramasamy juga harus belajar dari pengalaman 22 bulan Kerajaan Pakatan Harapan, yang pimpinannya kerap kali dilihat berbeza pandangan di ruang terbuka, hingga diambil kesempatan oleh musuh politik.
Jelasnya, untuk mencapai maksud itu, kompromi terpaksa dibuat, pengorbanan dilakukan.
”Komposisi kabinet ini tidak ideal tapi mengambil kira semua faktor, ia adalah pilihan yang diharapkan mampu mewakili dan mengangkat harapan seluruh rakyat Malaysia. Representasi setiap segmen masyarakat dalam kabinet adalah penting, baik representasi kaum, agama, gender, umur atau wilayah.
”Tetapi akhirnya yang paling utama adalah matlamat dan komitmen untuk menegakkan keadilan kepada semua, dan memenuhi hak serta kebajikan setiap warga tanpa mengira kaum dan agama, seperti mana yang ditekankan oleh YAB Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan di sini.
Razak mengulas kenyataan Ramasamy yang mendakwa masyarakat India kecewa dengan Kerajaan Perpaduan hanya memberi satu kerusi menteri kepada ahli Parlimen kaum tersebut.
Menurut Ramasamy, jika ahli Parlimen yang kalah boleh diberikan kedudukan dalam Kabinet sepatutnya Anwar boleh memberi pengiktirafan yang sama kepada pemimpin India yang lain.
Ramasamy mendakwa, tidak ada usaha serius untuk melantik calon India daripada PKR iaitu sebuah parti yang mempunyai penumpuan terbesar kaum India ke jawatan tersebut.
Mengulas lanjut, Razak berkata, negara sedang berada dalam situasi politik yang tidak pernah dialami sebelum ini, lantas ia memerlukan semua pimpinan dari setiap pakatan politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan ini untuk meletakkan kepentingan negara di hadapan, dan lebih matang serta berhati-hati dalam setiap bicara dan pandangan.
Ia kerana, keutamaan sekarang adalah bekerja dan melaksanakan amanah, untuk rakyat dan negara. – MalaysiaGazette
Ramasamy terus persoal hanya satu jawatan menteri kepada kaum India