Ahmad Yahya

KUALA LUMPUR – Pas Kedah terkesan dengan dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membayangkan sebahagian dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Ahmad Yahaya berkata, beliau berasa sedikit kecewa dengan tuduhan yang dilemparkan oleh Anwar.

Ahmad yang menumpaskan penyandangn kerusi itu Datuk Mahfuz Omar dari Amanah pada pilihan raya lalu berkata, beliau menjadi saksi bahawa PN tidak pernah menggunakan dana daripada syarikat judi bagi membiayai kempen.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, kebanyakaan cawangan Pas dihidupkan melalui sumbangan ahli parti itu yang kebanyakan terdiri daripada golongan petani, nelayan dan pekerja kilang.

“Saya menjadi saksi bahawa kami semua tidak pernah menerima duit dari syarikat judi untuk menjalankan kempen pilihanraya lepas.

“Kami di Kedah sangat terkesan dengan tohmahan buruk ini, hal ini kerana kebanyakkan cawangan kami di hidupkan dengan duit ringgit ahli kami sendiri.

“Ada di kalangan kami berkerja sebagai motong getah, nelayan dan tidak kurang juga yang berkerja kilang,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad berkata, tuduhan yang dilemparkan Anwar selepas mesyuarat Kabinet pertama mengambarkan kerajaan tidak bersedia melakukan perbincangan untuk mencari penyelesaian terhadap masalah rakyat.

Serentak itu beliau menggesa supaya jemaah menteri supaya hanya menyatakan perkara yang benar.

Artikel berkaitan:

“Dengan tuduhan sebegini selepas mesyuarat jamaah menteri pertama semalam sangat mengambarkan bahawa jemaah menteri tidak bersedia membincangkan penyelesaian bagi membantu rakyat Malaysia dalam menghadapi tekanan hidup hari ini.

“Mungkin kita sering mendengar, qulil haq walau kana murron (قل الحق وَلَوْ كَانَ مُرًّا).

“Saya menyeru agar para menteri menyatakan kebenaran walupun ia sangat susah bagi kamu,” katanya.

Media semalam melaporkan Anwar membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Bercakap ketika sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Anwar berkata dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian.

“Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

“Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi,” kata Anwar. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sangat berat dakwaan Non ni! Harap pihak dituduh tampil menangkis dakwaan berat ini atau membawa tuduhan ini kemahkamah dgn segera, ianya akan merosakkan reputasi parti.

Comments are closed.