Menteri Dalam Negeri Senator, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail . Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk ancaman aspek keselamatan dan ketenteraman awam.

Ia  menjadi agenda utama apabila menerajui kementerian berkenaan.

Malah, katanya, pihaknya akan memberi fokus utama kepada kestabilan politik dan keselamatan negara sekaligus dapat membantu memacu ekonomi negara.

Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu menjelaskan, dua perkara itu akan terus diperkasakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan didokong semua agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, aspek ketenteraman dan keselamatan adalah prasyarat untuk sebuah kerajaan apabila melibatkan mana-mana negara berdaulat dan merdeka.

“Saya tentu sahaja ingin mengesyorkan slogan ‘Keselamatan Tanggungjawab Semua’ bahawasanya setiap anggota masyarakat, pertubuhan politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu serta siapa sahaja yang namanya rakyat Malaysia harus mendokong cita-cita ini.

“Ini sahaja negara kita, tiada pilihan lain dan ia adalah asas yang satukan kita dengan memelihara dan jaga kepentingan bersama semua yang menjadi asas menyatukan semua kaum, agama dan apa jua latarbelakang selagi namanya rakyat Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri taklimat hari pertama bertugas di pejabatnya hari ini.

Beliau terdahulu mengimbas wajah dan kad perakam waktu pukul 9.25 pagi sebelum menghadiri sesi taklimat selama lebih dua jam ditemani Setiausaha Kementerian KDN, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Saifuddin berkata, lebih penting keperluan wujud keharmonian dalam rangka kehidupan bernegara dan sudah pasti semua pihak harus mengelak mengeluarkan kenyataan yang menjurus kepada salah faham serta membangkitkan sentimen mengancam keharmonian.

Katanya, beliau masih berpegang teguh titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menemani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap yang mana Seri Paduka mahu kerajaan baharu bergerak ke arah kestabilan politik, memakmurkan ekonomi, fokus isu rakyat, kos sara hidup dan peluang pekerjaan.

Malah jelasnya, beliau juga optimis dengan segala perancangan dan agensi yang diyakini mampu diurus tadbir dengan baik dan berkesan dalam menjamin keselamatan dan keharmonian di negara ini.

“Saya yakin kewibawaan PDRM yang dipimpin Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dengan undang-undang sedia ada, tanggungjawab ini sesuai dengan hasrat Seri Paduka seperti diungkap dalam kenyataan akhir Majlis Raja-Raja yang memberi peringatan kepada semua pemegang taruh dalam negara.

“Hasrat itu membentuk harapan saya dalam menjalankan tugas bahawa aspek keselamatan dan ketenteraman awam tidak akan dikompromi sama sekali. Saya akan terus dari semasa ke semasa dengan perbincangan dengan Ketua Setiausaha KDN, Acryl Sani dan agensi lain,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast