KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal kren yang bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau Indah, Pelabuhan Klang, semalam.
Pengarah Maritim Selangor, Kapten V Siva Kumar mengesahkan, penahanan itu dibuat sekitar pukul 1.30 petang hasil rutin rondaan Op Ehsan dan Op Benteng Laut oleh Jabatan Laut Wilayah Tengah.
Menurutnya, tiga kru warga asing yang ditahan atas kapal kren tertera nama Awana Salvage turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Ketika pemeriksaan awal, kapten tidak berada atas kapal. Pasukan operasi menemukan tiga kru warga tempatan, dua warga Indonesia dan seorang warga Filipina dalam lingkungan 34 hingga 49 tahun.
“Hasil pemeriksaan dokumen mendapati, semua kru warga asing gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada penguat kuasa termasuk dokumen kebenaran bersauh,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Kesemua mereka disyaki melanggar peraturan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana tidak melaporkan ketibaan dan bersauh tanpa kebenaran.
Tegasnya, perintah penahanan ke atas kapal terbabit telah dikeluarkan dan seorang penyelia serta seorang kru dibawa ke ibu pejabat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette