Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Tuduhan bahawa Perikatan Nasional (PN) menerima pembiayaan daripada syarikat judi bagi kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan suatu perkara yang ‘tidak masuk akal’.

Sebaliknya, ‘tauke’ dan syarikat perjudian hanya layak untuk bersama Pakatan Harapan (PH) memandangkan prestasi saham syarikat perjudian dilaporkan naik sejurus parti itu mendapat kuasa serta mentadbir negara, dakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Hanya akal yang berpusing sahaja boleh menerima tuduhan bahawa tauke dan syarikat judi menyumbang kepada PN. Sedangkan sahamnya (syarikat judi) jatuh menjunam setelah mendapat maklumat kemaraan PN dalam Pilihan PRU15 lalu.

“Sahamnya hanya naik semula, apabila PH mendapat kuasa secara luar biasa daripada amalan demokrasi yang bersih.

“Diikuti pula dengan pembentukan kabinet yang tidak bersih, kerana telah melibatkan bekas banduan walaupun telah diampun dan kluster mahkamah yang belum selesai perbicaraannya,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden Pas, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, kemahuan tauke dan syarikat perjudian hanya ‘selari’ dengan pemberi dan penerima rasuah serta golongan penipu sahaja.

“Adalah tidak masuk akal tauke dan syarikat judi menyumbang kepada kumpulan yang terdapat di dalamnya yang dituduh sebagai Taliban, pihak yang paling agresif merobohkan pusat judi dengan ganas.

“Apabila Pas memerintah Kelantan, maka langkah menutup tempat perjudian diambil dan diadakan dialog dengan para pemimpin semua agama. Mereka memaklumkan bahawa judi turut diharamkan semua agama,” ujarnya.

Menurut Abdul Hadi lagi, apabila kerajaan negeri ditadbir Pas seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah yang mengambil tindakan menutup premis judi, pihaknya mendapat protes daripada parti komponen PH.

“Walaupun dalam perkara (menutup premis judi) yang hanya berkait dengan hak umat Islam. Malangnya, mereka yang berwajah Islam dalam PH diam membisu,” tambahnya.

Abdul Hadi berkata, Pas turut mendepan cabaran dalam mengendalikan isu premis judi apabila bidang kuasa kerajaan negeri hanya terhad kepada premis perjudian.

Katanya lagi, lesen kebenaran berjudi tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan dan Menteri Kewangan pada masa itu ialah Perdana Menteri sekarang yang dilantik oleh PH, merangkap Menteri Kewangan.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terbabit dengan cabutan khas. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Judi bukanlah budaya kita orang2 Asia Tenggara. Oleh itu ianya perlu dihapuskan dengan segera. Jom reformasikan pusat judi Genting menjadi pusat rekreasi thame park, harap geng2 reformasi jangan lagi berlengah.

  2. Bekas banduan yg telah diampun? Ini rakyat kurang jelas, apakah rekod2/dokumen2 lampau itu tidak lagi disimpan dimahkamah atau telah dilupuskan/dimusnahkan? Pohon penjelasan hakim.

Comments are closed.