Keratan layar laporan berita palsu.

KUALA LUMPUR – Keratan layar sebuah laporan berita kononnya bekalan telur kurang di pasaran kerana ayam enggan bersetubuh adalah palsu.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui media sosial meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan tangkap layan berkenaan.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ingin merujuk kepada posting yang tular di media sosial bertajuk ‘Bekalan telur kurang kerana ayam enggan bersetubuh’.

“Maklumat melalui akaun media sosial tersebut adalah palsu. Orang ramai diminta agar tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti atau palsu,” katanya.

Tangkap layar yang disebarkan di media sosial memaparkan gambar Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dengan tajuk ‘Bekalan telur kurang kerana ayam enggan bersetubuh’.

Selain itu terdapat kapsyen bertulis, ‘Punca kekurangan bekalan telur telah dikenalpasti akibat pasangan ayam yang bermasalah.

Berita tersebut kononnya dikeluarkan oleh sebuah portal berita.

Sebelum ini media melaporkan, Mohamad memaklumkan, isu bekalan barangan keperluan terutama telur dan ayam serta harga munasabah menjadi antara fokus kementerian.

Mohamad berkata, isu bekalan makan dengan harga yang munasabah memerlukan perhatian serius seiring dengan ramalan ekonomi dunia merosot tahun hadapan.

Beliau menegaskan, pihaknya mengenalpasti beberapa sumber dari luar untuk menampung keperluan bekalan telur ayam dalam negara dengan kadar segera.

Ini bagi memastikan keterjaminan telur ayam di pasaran.

“Kementerian juga akan memastikan telur ayam yang diterima selamat daripada penyakit dan menepati piawaian yang ditetapkan.

“Segala protokol dan tatacara yang ditetapkan Kerajaan perlu dipatuhi tanpa kompromi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum itu dilaporkan sudah berbincang dan mengarahkan beberapa langkah diambil terhadap isu bekalan telur yang dihadapi negara ketika ini.

Katanya, harga telur ayam yang lebih murah akan diumumkan Mohamad bagi mengurangkan kebergantungan bekalan telur kepada kartel.

Untuk rekod, purata penggunaan telur ayam rakyat Malaysia untuk tempoh sebulan dianggarkan 968 juta biji.

Negara menghadapi kekurangan bekalan telur ayam sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu. – MalaysiaGazette