Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjalan keluar selepas menghadiri keputusan permohonan untuk mendapatkan beberapa dokumen transaksi melibatkan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Seri Zeti Aziz di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 08 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini menolak rayuan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan 19 dokumen berkaitan maklumat perbankan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau  Jho Low dan keluarga bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Dr Zeti Akhtar Aziz.

Bekas perdana Menteri itu cuba mendapatkan dokumen tersebut yang dipercayai boleh digunakan dalam perbicaraan penyewlewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.

Dokumen-dokumen perbankan itu dikaitkan dengan dengan keluarga Zeti yang dikatakan menerima wang daripada Jho Low.

Tiga panel hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan sebulat suara menolak permohonan tersebut.

Sebelum ini Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat ketetapan untuk menolak dua permohonan Najib yang mahu dokumen berkenaan didedahkan ketika perbicaraannya.

Kerajaan Singapura yang sedang menyiasat skandal kewangan 1MDB di negara itu memberikan dokumen berkenaan kepada pihak berkuasa Malaysia termasuk BNM.

Pada 24 Mac 2021, Najib meminta pendakwaan memberikan penyata perbankan daripada beberapa syarikat, termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd dan Central Holdings Ltd namun mendapat bantahan pendakwaan yang menyatakan ia agak pramatang.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah sebanyak RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. -MalaysiaGazette