SEJAK kebelakangan ini, kita telah menyaksikan pengurangan yang berterusan dan ketara dalam penggunaan wang tunai. Pandemik Covid-19 yang berlaku pada akhir tahun 2019 telah membawa kesan drastik terhadap tabiat pembayaran orang ramai, dengan menyebabkan penggunaan tunai menurun secara ketara. Pandemik ini telah membawa kesan perubahan dalam tabiat pembayaran pengguna dan perdagangan dengan pembayaran digital.
Trend ini telah dipraktikan beberapa tahun awal sebelum berlakunya pandemic global Covid-19. Krisis Covid-19 ini, dan tempoh penutupan ekonomi yang berkaitan serta keperluan penjarakan sosial, telah menggalakkan lagi penggunaan bayaran selain daripada wang tunai.
Sebahagian ekonomi telah ditutup untuk tempoh jangka masa yang lama sepanjang tahun 2020 hingga tahun 2021 dan orang ramai diarahkan untuk mengekalkan penjarakan sosial. Industri yang diarahkan untuk ditutup antaranya adalah industri hiburan dan industri pelancongan menyebabkan ia terhenti sepenuhnya.
Memandangkan ini adalah sektor-sektor yang lebih banyak menggunakan wang tunai sebagai kaedah pembayaran utama, sudah tentu secara keseluruhan ini memberi kesan ke atas jumlah bilangan keseluruhan pembayaran tunai yang dibuat sepanjang darurat Covid-19.
Hal ini telah menyebabkan beberapa kebimbangan bahawa Covid-19 telah mempercepatkan lagi pengakhiran penggunaan wang tunai. Ini kerana dalam tempoh pandemik yang lama ini, pengguna semakin berpaling daripada wang tunai dan menggunakan kad debit atau pun beralih membuat bayaran secara elektronik.
Tambahan pula, urusan beli-belah dalam talian atau dikenali sebagai e-dagang, telah berkembang pesat dan sekali lagi mengukuhkan pilihan untuk membayar selain daripada tunai dan bergerak pesat kearah pembayaran kad ataupun bayaran elektronik. Sepertimana yang kita sedia maklum, sebelum ini keutamaan khususnya pembayaran tanpa sentuhan ini dilihat sebagai cara membantu penjarakan sosial dikekalkan.
Sebagai contoh, tidak dinafikan ada sebilangan kecil perniagaan yang dibenarkan dibuka sewaktu pandemik Covid-19 berleluasa, yang mana ia membolehkan peniaga yang berhadapan dengan pelangan mempunyai kecenderungan untuk menggalakkan pelanggan membayar dengan kad atau talian, dan bukannya secara tunai untuk mempraktikan cara pembayaran saranan kerajaan.
Memandangkan banyak perniagaan tidak lagi mengambil pembayaran tunai, pengguna yang pernah enggan membeli-belah dalam talian terpaksa mengubah tabiat mereka, juga cara pemilihan pembayaran mereka apabila setelah berlakunya wabak tersebut. Apabila trend ini berterusan, kita melihat e-dagang juga telah menjadi pilihan utama kebanyakan orang.
Selain itu, penggunaan dan kebergantungan terhadap e-dagang ini telah meningkatkan kesedaran kepada rakyat betapa penting dan mudahnya melakukan urus niaga secara tanpa tunai.
Disebabkan trend e-dagang ini, bentuk penipuan urusan kewangan telah berhijran dari kedai tradisional ke perdagangan digital. Sehubungan itu, perkara ini menggesa pihak industri kewangan untuk mengambil langkah proaktif bagi menanganinya.
Cara pembayaran digital akan kekal berada disini dan ramai pengguna digital kali pertama akan memutuskan sendiri dimana untuk membeli-belah berdasarkan sama ada mereka mempercayai penjual atau tidak.
Apabila perdagangan digital menjadi arus perdana, keselamatan pembayaran akan menjadi pemacu asas kepada kepercayaan pengguna. Justeru itu industri kewangan mesti menuruti jangkaan pengguna dengan memberikan mereka pengalaman pembayaran yang selamat, mudah dan cepat.
Azah Atikah Anwar Batcha
Pelajar PhD dalam bidang Ekonomi Islam di UTM, Kuala Lumpur