monopoli Bernas pihak sanusi
Ahmad Yahya

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menyediakan justifikasi dan langkah susulan yang kukuh berhubung cadangan menghapuskan monopoli Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) dalam import beras di negara ini.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya mempersoalkan sama ada langkah itu akan membuka ruang kepada syarikat swasta lain untuk mengimport beras.

“Bagaimana kesan dan impak kepada pengusaha beras tempatan yang terpaksa bersaing disebabkan harga beras import yang lebih murah? Apakah ada jaringan keselamatan terhadap perkara tersebut?

“Bagaimana kerajaan akan mengawal import beras sedangkan langkah sedia ada dilakukan bagi mengawal selia jumlah beras yang diimport memenuhi keperluan dan permintaan?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kerana memonopoli import beras di negara ini.

Ahmad menambah, istilah ‘monopoli’ oleh Bernas sebenarnya obligasi sosial yang ketat bahkan kerajaan mengawal sepenuhnya bidang kuasa syarikat tersebut ketika ini melalui ‘saham keemasan’.

Menurut beliau, ia berkait dengan pengawalseliaan terhadap stok penimbal yang disasarkan kepada 290,000 tan metrik kelak.

Ahmad memberitahu, obligasi itu mengikat peranan monopoli import Bernas termasuk dalam klausa pembaharuan konsesi bagi 10 tahun akan datang sehingga 2031.

“Persoalannya, adakah syarikat swasta yang lain turut diikat dengan obligasi yang sama seperti yang ditanggung Bernas?” tanyanya.

Beliau berkata, Pas Kedah berpandangan  isu itu memerlukan penelitian yang lebih lanjut dan tidak sekadar semberono.

“Ironinya, pengumuman penghapusan monopoli terpisah daripada perbincangan lain yang mustahak,” jelasnya.

Ahmad turut membentangkan cadangan Pas Kedah berhubung lima keutamaan yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dalam konteks keselamatan makanan.

Menurut beliau, cadangan pertama adalah mengupayakan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030) yang menumpukan kepada peningkatan produktiviti serta mobiliti sosial para pesawah.

Cadangan kedua, kata Ahmad, menyokong usaha kerajaan negeri Kedah dengan dasar penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun bagi meningkatkan penghasilan padi seterusnya menyokong sasaran tahap sara diri melebihi 80 peratus menjelang 2030 seperti yang digariskan Dasar Agromakanan Negara 2.0.

“Cadangan ketiga adalah memerangi kartel padi secara sistematik, telus dan berstrategik serta mengawal rantaian pengeluaran padi dengan lebih efektif.

“Cadangan keempat, mencontohi model asas pelaksanaan Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Asnaf yang dilaksanakan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

“Cadangan kelima, memberikan tumpuan yang serius bagi meremajakan industri padi dan beras negara serta tumpuan terhadap penerimagunaan teknologi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast