Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media khas bagi mengumumkan barisan anggota Timbalan Menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinannya selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 09 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan isu pertukaran Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) adalah perubahan biasa dalam pentadbiran kerajaan.

Jelas beliau, isu pertukaran mendadak tidak membabitkan Datuk Seri Asri Hamidin @ Hamidon hanyalah khabar angin yang diuar-uarkan dalam media.

“Ini hanya pertukaran biasa yang juga membabitkan sama ada kenaikan pangkat atau perubahan jabatan dan urusan.

“Wewenang (hak dan kuasa) perbincangan diputuskan oleh penjawat awam yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali),” katanya pada sidang media selepas mengumumkan senarai timbalan menteri di 26 kementerian dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan.

Media sebelum ini menimbulkan teka teki mengenai kedudukan Asri apabila beliau tidak kelihatan ketika majlis sambutan hari pertama Anwar yang juga Menteri Kewangan di Kementerian Kewangan pada Selasa lalu.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kedudukan pegawai tertinggi di beberapa kementerian termasuk ketua setiausaha kementerian yang kini digabungkan menjadi satu, Anwar berkata, ia adalah urusan pentadbiran yang juga dikendalikan Mohd Zuki.

“Urusan pentadbiran KSN akan kendalikan dan uruskan dengan sewajarnya,” katanya lagi.

Anwar bertindak menggabungkan dua kementerian iaitu Kementerian Alam Sekitar dan Air serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli menjadi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebagaimana yang pernah dibuat kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 2018. – MalaysiaGazette