GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bakal menyediakan perkhidmatan teksi air di negeri ini.

Pelaksanaan itu akan dilakukan melalui tender terbuka secara permintaan cadangan (RFP) bermula Isnin ini.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, tujuan utama perancangan ini adalah untuk menyediakan satu mod pengangkutan awam baharu yang boleh digunakan oleh orang awam dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan pulau.

Kata beliau, cadangan perkhidmatan teksi air ini juga bertujuan untuk menggalakkan aktiviti pelancongan di Pulau Pinang.

“Perkhidmatan teksi air ini bakal dijadikan satu akses tambahan kepada orang awam untuk perjalanan jarak jauh di kawasan bandar, contohnya perjalanan transit kerja, urusan kerajaan, aktiviti harian, urusan peribadi, dan sebagainya.

“Jadi untuk melaksanakan projek ini, MBPP mempelawa dan menjemput mana-mana syarikat yang berminat untuk membuat pelawaan dengan menyertai tender terbuka secara RFP.

“Tarikh iklan untuk RFP ini adalah pada Isnin ini penjelasan RFP daripada MBPP pada 19 Disember dan tarikh tutup penyertaan RFP adalah pada 27 Februari depan. Syarikat yang ingin menyertai RFP ini dikehendaki mematuhi syarat dan keperluan yang dinyatakan di dalam dokumen RFP,” katanya pada sidang media di Komtar di sini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang dan Pengarah Kejuruteraan MBPP, Ir. Cheah Chin Kooi.

Mengulas lanjut, Zairil memaklumkan bahawa antara komponen penting yang perlu disediakan oleh syarikat yang ingin menyertai RFP tersebut adalah menyediakan Laporan Awal Kebolehupayaan Kajian.

“Syarikat berkaitan juga perlu mengemukakan cadangan lokasi jeti untuk perkhidmatan teksi air; jenis dan spesifikasi bot atau feri yang akan digunakan; model kewangan dan tempoh untuk melaksanakan projek ini.

“Sekiranya proses RFP ini berjalan lancar, kita menjangkakan perkhidmatan teksi air dapat beroperasi di negeri ini pada 2024,” jelas beliau.

Setakat ini, empat lokasi bagi pembinaan jeti teksi air dikenal pasti iaitu di Straits Quay, Terminal Swettenham Pier, Pulau Jerejak dan Batu Maung.

Perkhidmatan teksi air ini antara yang terkandung dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai RM46 bilion. – MalaysiaGazette