KUALA LUMPUR – Nooryana Najwa Najib meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membenarkan perbicaraan melibatkan ayahnya, Datuk Seri Najib Razak disiarkan secara langsung di media sosial.
Anak bekas perdana menteri itu berkata, siaran langung bagi semakan kehakiman kes SRC yang bermula bulan depan perlu diakses ramai supaya rakyat memahami ada yang berlaku di dalam mahkamah.
Nooryana Najwa atau dikenali Yana berkata, kerajaan yang dipimpin oleh Anwar perlu bersikap terbuka dengan membenarkan perbicaraan disiarkan secara langsung secara dalam talian.
“Dari awal lagi, ayah saya minta perbicaraan kes dia disiarkan secara langsung agar rakyat faham apa sebenarnya yang berlaku di dalam mahkamah.
“Memandangkan semakan kehakiman kes SRC yang akan bermula pada 19 Januari adalah sangat penting bagi ayah saya dan dia bakal dibebaskan sekiranya menang.
“Saya berpendapat bahawa kerajaan Anwar patut lebih terbuka dan bertindak telus dengan memberi kebenaran bagi perbicaraan ini disiarkan secara langsung melalui online streaming,” kata Noryana Najwa.
Mahkamah Persekutuan menetapkan tiga hari bermula 19 Januari 2023 untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyemak sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Wan Fatimah Zahara Wan Yussoff dan Siti Hajar Mustaffa yang mendengar pengurusan kes pada 21 Oktober lalu menetapkan 19, 20 dan 26 Januari 2023 untuk mendengar permohonan semakan itu.
Peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib dan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Ashrof Adrin Kamarul dilaporkan berkata, mahkamah juga menetapkan 2 Disember untuk satu lagi pengurusan kes bagi semakan tersebut.
Sementara Mohd Ashrof berkata, pihak pendakwaan dan pembelaan perlu memfailkan hujahan masing-masing selewat-lewatnya pada 4 Januari tahun depan.
Bekas perdana menteri berusia 69 tahun itu kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda RM210 juta pada 23 Ogos lepas.
Najib memohon mahkamah menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 Ogos yang menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti berkaitan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hakim perbicaraan dalam kes membabitkan dana SRC International yang dihadapinya.
Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan telah mendapatinya bersalah atas tujuh pertuduhan iaitu tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.
Mohd Nazlan yang kini menjadi hakim Mahkamah Rayuan telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun penjara terhadap Najib dan keputusannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember tahun lepas.
Najib memohon agar rayuannya didengar semula oleh panel baharu hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya tujuh hakim dan beliau diberi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu pendengaran permohonan semakannya itu.- MalaysiaGazette