Tanah bukit yang menggelongsor menimpa kawasan sebuah rumah banglo di Taman Halaman Ampang.

KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga buah rumah di Taman Halaman di Ampang perlu dikosongkan kerana berkemungkinan besar tanah masih bergerak di sebabkan hujan berterusan.

Semua penghuni rumah tersebut telah berpindah ke rumah lain selepas kejadian tersebut manakala terdapat penghuni sebuah rumah masih enggan berpindah dengan alasan mempunyai emak yang sudah tua dan uzur walaupun telah dinasihati oleh pihak berkuasa.

Dinding kediaman rumah banglo pecah akibat pergerakan tanah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata, pihak polis telah membuat kawalan di kawasan rumah tersebut dengan meletakkan sebuah van balai polis bergerak dan mendirikan Pusat Kawalan Tempat Kejadian bersama dengan bomba, Jabatan Pertahanan Awam dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

”MPAJ dan Ketua Daerah dan Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat turut hadir untuk membuat pemeriksaan di tempat kejadian. Tiada sebarang kemalangan jiwa yang berlaku dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, semalam, kira-kira jam 6.07 petang, ibu pejabat polis Ampang menerima maklumat orang awam tentang kejadian tanah runtuh membabitkan sebuah rumah di situ.

Pasukan keselamatan mengawal keadaan di kawasan kediaman di Taman Halaman susulan berlaku tanah runtuh semalam.

Kejadian berlaku melibatkan dua buah unit rumah banglo lima tingkat yang mana tanah bahagian belakang rumah telah mengelongsor menyebabkan dua buah rumah terkesan iaitu dinding dapur rumah telah pecah dan dimasuki tanah manakala sebuah lagi dimasuki tanah.

Kejadian ini berlaku disebabkan hujan lebat yang turun secara berterusan.

Menurut Mohamad Farouk, kawasan rumah yang terkesan adalah jenis banglo sebuah, yang mana terdapat sebanyak sembilan buah rumah yang di bina di lereng bukit.

Kejadian hujan yang berterusan menyebabkan air berlumpur mengalir sehingga ke hadapan rumah. – MalaysiaGazette