KUALA LUMPUR – Biarpun disahkan menghidap kanser darah tahap 4 ketika berada di semester 3, Nurafifa Ruqayyah Rushdan tetap meneruskan langkahnya untuk menggapai impian menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Sains (Sains Biologi) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Nurafifa, 23, pada mulanya tidak dapat menerima kenyataan tersebut dan merasakan hidupnya telah gelap.
Namun berbekalkan semangat kedua ibu bapa yang tidak putus-putus berdoa, membuatkan dia bangkit melawan penyakit tersebut.
“Masa saya belajar, simptom kerap penat dan keletihan menyebabkan kakak saya , Nuramira yang juga belajar di UMT dalam jurusan Sarjana Muda Sains (Matematik Kewangan) membawa saya ke Pusat Kesihatan universiti untuk rawatan dan mendapati tekanan darah saya rendah.
“Namun saya ingatkan keletihan disebabkan aktif dalam aktiviti kelab Muslim Youth Volunteer dan UNESCO kerana hujung minggu sentiasa ada aktiviti, sama ada di dalam UMT ataupun di luar UMT.
“Kebetulan pula minggu tersebut adalah minggu peperiksaan menyebabkan saya dan kakak tangguhkan dulu untuk pulang ke kampung.
“Setelah selesai peperiksaan saya balik ke kampung dan terus melakukan pemeriksaan lanjut di klinik kesihatan. Tekanan darah saya makin rendah dan terus dimasukkan ke wad kecemasan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ).”
“Setelah ditahan di hospital selama 20 hari saya disahkan mengidap kanser darah tahap empat kerana sel-sel kanser sudah membiak di dalam limpa saya,” katanya.
Jelasnya, setelah perbincangan bersama keluarga, dia mengambil keputusan untuk menerima rawatan kemoterapi pertama pada 27 Februari 2020.
“Bermula detik itulah HRPZ menjadi rumah pertama saya. Bermacam-macam rawatan saya terima,” katanya.
Tambah anak ke tiga daripada lima beradik kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini kehidupannya mula berubah sepenuhnya apabila disahkan mengidap kanser darah tahap empat.
“Saya hampir putus asa namun ibu ayah menjadi penguat semangat saya untuk terus berjuang melawan penyakit ini dan mengambil sedikit masa untuk menerima kenyataan.”
“Hampir enam bulan saya cuba redha dan tanamkan dalam diri dengan menyerahkan hidup dan mati saya kerana Allah serta menyerahkan urusan hidup saya kepadaNya. Bermula dari itu saya rasakan diri saya mendapat kekuatan baru,” ujarnya.
Nurafifa berkata, sepanjang dua tahun menghidap penyakit ini dia telah menjalani kemoterapi sebanyak 36 kali. Rambut yang dulunya panjang mengurai gugur tanpa meninggal seurat rambut.
Berikutan kesihatan yang tidak mengizinkan, pada semester empat dan lima Nurafifa terpaksa menagguhkan pengajian bagi meneruskan rawatan.
Namun pada semester lima dan enam dia perlu menyiapkan projek tahun akhir walaupun berada dia atas katil hospital sebelum menjalani pembedahan bagi menanam chemoport.
“Alhamdulillah saya sempat menghantar tesis akhir sewaktu saya masih lagi ditahan di wad di HUSM Kubang Kerian selepas chemotherapy regime ICE kali ke-12.
“Sepanjang dua tahun menjalani rawatan bermula tahun 2020 hingga tahun 2022 terlalu banyak jasa orang-orang yang saya sayang terutama ibu ayah dan keluarga yang sentiasa disisi. Juga sahabat-sahabat seperjuangan yang sentiasa datang ziarah walaupun menaiki bas dari kampus UMT.
“Tidak lupa mentor saya, Prof. Dr. Wan Iryani Wan Ismail saya anggap sebagai tulang belakang sepanjang perjalanan saya di UMT dan juga supervisor saya, Dr Siti Aisyah Razali yang sentiasa memudahkan urusan saya bagi menyiapkan tesis.
“Kejayaan saya pada hari ini adalah kejayaan anda semua”, katanya. -MalaysiaGazette