Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – UMNO daif kerana difitnah hingga duit dan harta parti ini habis dirampas, tegas Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi.

Malah, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, parti ini tidak akan daif jika Datuk A. Kadir Jasin memulangkan aset UMNO yang berbilion ringgit ketika pernah menjadi proaksi semasa bergelar tokey besar MRCB.

Puad menyifatkan Kadir sebagai manusia paling sakit hati pada UMNO kerana sebelum terbentuk kerajaan perpaduan setiap hari dia menulis supaya Datuk Ahmad Zahid Hamidi tidak dilantik sebagai menteri dan timbalan perdana menteri.

Namun, Kadir gagal, justeru bekas Ketua Komunikasi Pejabat Perdana Menteri semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh itu bertambah sakit hati kepada UMNO kerana parti ini terlalu liat untuk dikuburkan.

”Dia tuduh pula UMNO parti paling daif, bermasalah dan tidak akan pulih.

”Kadir lupa, propagandanya sudah tidak laku. Dia macam Tun M. Dia propagandis yang hilang deposit. Dia kluster Melayu mudah lupa,” dakwa Puad lagi.

Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Rengit turut membidas kenyataan Kaddir yang mendakwa UMNO sekarang suka pecat orang termasuk memecat ahli yang memegang jawatan penting dan ia berleluasa di zaman Datuk Seri Najib Razak dan Zahid.

Katanya, Kadir lupa Mahathir juga pernah pecat Datuk Seri Anwar Ibrahum, bahkan bekas Perdana Menteri itu pernah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman.

Bahkan Mahathir dipecat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

”Tabiat memecat adalah budaya Mahathir. Dia pecat Ketua Hakim Negara. Dia pecat Peguam Negara. Dan ramai Menteri kena pecat zaman Team A dan Team B.

”Soal pertandingan dalam parti, Kadir lupa KJ (Khairy Jamaluddin dan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) lawan Zahid dan Zahid dikenakan puluhan tuduhan. Ada Zahid pecat mereka selepas itu?

”UMNO pun tidak haram berbanding zaman Mahathir lawan Ku Li. Kadir kata UMNO parti daif dan tidak akan pulih. UMNO daif kerana fitnah. Habis duit dan harta UMNO dirampas.

”UMNO tidak akan daif jika Kadir Jasin pulangkan aset UMNO berbilion ringgit kerana dia pernah jadi proksi semasa bergelar tokey besar MRCB,” ujarnya.

Semalam, dalam hantaran di Facebook, Kadir mendakwa UMNO parti yang lebih enam dekad memerintah, menang 13 kali dari 15 pilihan raya hari ini adalah antara parti politik paling daif dan bermasalah dengan tiada tanda jelas akan pulih semula.

Daripada 109 kerusi yang dimenangi dalam PRU 2004, kehadiran UMNO dalam Dewan Rakyat jatuh kepada 79 pada 2008, naik sikit kepada 88 pada 2013, jatuh semula kepada 54 pada 2018 dan sekarang tinggal 26 saja.

Kalau tidak sedar lagi memang sahlah ahli dan pemimpin UMNO sudah koma, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast