KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telah menyerbu lapan agensi utama kerajaan dan sembilan syarikat bagi menyiasat dakwaan sebarang bentuk ketirisan berhubung pakej rangsangan ekonomi bernilai lebih RM92.5 billion oleh kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN).
Operasi yang dijalankan secara serentak di sekitar Lembah klang Klang hari ini.
Menurut sumber SPRM, fasa pertama serbuan dijalankan ke atas lapan agensi utama yang menerima peruntukan besar pada tahun 2020 dan 2021 di bawah pakej rangsangan ekonomi yang diluluskan kerajaan terdahulu.
Susulan serbuan itu, sembilan lagi syarikat pembekal utama telah dikunjungi pegawai penyiasat SPRM bagi mendapatkan dokumen-dokumen yang berkaitan kes.
”Di peringkat ini kita tidak dapat mendedahkan hasil siasatan atau penemuan apa-apa bukti penyelewengan kerana ianya masih awal.
”Kami memerlukan sedikit masa untuk meneliti, mengkaji dan mengesan sebarang bentuk kesalahan rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan,” katanya.
Dalam satu kenyataan 9 Disember lalu, SPRM berkata, siasatan awal penyelewengan perbelanjaan RM600 bilion mendapati anggaran jumlah peruntukan untuk dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 adalah sebanyak RM530 bilion.
Daripada jumlah tersebut sebanyak RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion pula bukan daripada kerajaan.
“SPRM telah menerima daripada Kementerian Kewangan butiran pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang telah dibelanjakan oleh kerajaan pada tahu 2020 dan 2021 berkenaan pengurusan Covid-19. – MalaysiaGazette
Penyelewengan RM600b: Siasatan SPRM tertumpu kepada RM92.5 bilion dana kerajaan