Bangunan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 08 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR –  Siasatan awal penyelewengan perbelanjaan RM600 bilion mendapati anggaran jumlah peruntukan untuk dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 adalah sebanyak RM530 bilion.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion pula bukan daripada kerajaan.

“SPRM telah menerima daripada Kementerian Kewangan butiran pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang telah dibelanjakan oleh kerajaan pada tahu 2020 dan 2021 berkenaan pengurusan Covid-19

“Hasil siasatan awal mendapati jumlah peruntukan yang terlibat dianggarkan berjumlah RM530 bilion. Berdasarkan jumlah tersebut RM92.5 billion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, fokus siasatan SPRM akan terarah kepada dana sebanyak RM92.5 bilion berkenaan.

Pihak Kementerian Kewangan, menurut SPRM, sedang meperincikan pecahan tersebut dan akan menyerahkannya kepada badan pencegahan rasuah itu minggu hadapan.

Artikel berkaitan:

Semalam SPRM mengesahkan satu kertas siasatan berhubung dakwaan beberapa pihak berkaitan penyelewengan wang perbelanjaan negara berjumlah RM600 bilion telah pun dibuka

Suruhanjaya itu juga menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat, bukti atau dokumen supaya menyerahkannya kepada SPRM.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara sama namun tidak memperincikan butiran lanjut mengenai siasatan terbabit.

Artikel berkaitan:

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Menurut Anwar, Kementerian Kewangan telah memaklumkan beberapa pelanggaran melibatkan isu itu.

Bekas Perdana, Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor berkata, beliau tidak takut disiasat susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan itu ketika mengetuai pentadbiran sebelum ini.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pihak antaranya Muhyiddin Yassin; bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan memberi keterangan mengenai salah guna dana itu.

Bagaimanapun, semalam Tengku Zafrul berkata, beliau belum dipanggil SPRM untuk memberi keterangan. – MalaysiaGazette