KLUANG – Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas 6,922.36 gram (g) dadah bernilai RM1,097,500 dalam serbuan di Taman Permata, di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, bagi mengaburi mata pihak berkuasa dadah berkenaan dibungkus dalam peket teh dan jus minuman.
Namun katanya, kegiatan dua lelaki berkenaan terbongkar selepas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang melakukan serbuan pada pukul 10 pagi.
“Dalam serbuan itu polis menemui pelbagai peket plastik teh dan jus minuman berusia serbuk disyaki ektasi dan 1,139 biji disyaki jenis dadah ekstasi dengan berat keseluruhan 6,922.36 gram.
“Dua buah kenderaan jenis Perodua Kelisa dan Kia Optima masing-masing berharga RM8,000 dan RM5,000 dipercayai milik ayah kedua-dua tahanan turut dirampas dalam serbuan itu,” katanya dalam sidang media di IPD Kluang, di sini, hari ini.
Bahrin berkata, kedua-dua suspek diberkas itu berusia 26 tahun dan semakan mendapati mereka mempunyai lima rekod lampau berkaitan kes jenayah, komersial serta dadah.
Katanya, ujian saringan air kencing pula mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.
Ujarnya, suspek dikenakan tahanan reman selama tujuh hari bermula 11 hingga 17 Disember ini.
Kes itu kataya, disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebat tidak kurang 12 kali sebatan.- MalaysiaGazette