Muhyiddin Bersatu Sabah
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, beliau tidak takut untuk disiasat berhubung tuduhan penyelewengan dana sebanyak RM600 bilion yang didakwa berlaku semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu.

Ahli Parlimen Pagoh itu tahu beliau tidak menyelewengkan duit rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk digunakan bagi membantu rakyat ketika zaman susah.

Pada masa yang sama, Muhyiddin tidak pasti dari mana angka RM600 bilion dipetik dan ia mungkin merujuk kepada lapan Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM530 bilion yang dilaksanakan semasa beliau menjadi Perdana Menteri untuk membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas ketika tempoh pandemik.

“Daripada keseluruhan RM530 bilion ini, sebahagian besarnya adalah berbentuk non-fiskal, iaitu tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.

“Ini termasuk pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Lestari, i-Sinar, i-Citra bernilai RM145 bilion, pengurangan pembayaran KWSP bernilai RM10 bilion, moratorium bayaran pinjaman bank untuk individu dan syarikat bernilai RM180 bilion, jaminan kerajaan untuk pinjaman syarikat bernilai RM80 bilion dan inisiatif-inisiatif lain yang bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh individu dan perniagaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada 30 November lalu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan membuat laporan polis berhubung dakwaan penyelewengan dana RM600 bilion yang dikatakan berlaku semasa pentadbiran Muhyiddin.

Muhyiddin menambah, adalah tidak mungkin beliau menyelewengkan dana tersebut kerana ia adalah wang individu atau bank yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.

Malah, beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu tidak mempunyai apa-apa kuasa ke atas penggunaan wang tersebut.

“Menurut kenyataan Menteri Kewangan pada 29 Jun 2021, perbelanjaan yang melibatkan wang kerajaan dalam bentuk suntikan fiskal pula bernilai RM83 bilion.

“Ini termasuk perbelanjaan untuk pembelian vaksin bernilai RM5 bilion dan pelbagai bentuk bantuan langsung tunai untuk rakyat seperti subsidi upah bernilai RM20.92 bilion, Bantuan Prihatin Nasional bernilai RM18.2 bilion, Geran Khas Prihatin bernilai RM4.21 bilion, Geran Khas Prihatin Permai bernilai RM842,000,000, Skim Pembiayaan Mudah Bumiputera bernilai RM500,000,000 dan bantuan-bantuan lain yang dimasukkan terus ke akaun penerima yang layak,” jelasnya.

Muhyiddin berkata, tiada satu sen pun wang tersebut masuk ke akaun peribadinya, maka tidak masuk akal wang bantuan rakyat yang dimasukkan terus ke dalam akaun mereka boleh diseleweng masuk ke akaunnya.

Menurut beliau, sekiranya perkara itu berlaku, sudah tentu ia akan diketahui melalui penemuan audit yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara (JAN) setiap tahun.

“Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sudah tentu membentangkan laporan mengenainya di Parlimen. Tak mungkin JAN atau PAC terlepas pandang. Ini bukan perkara kecil. Ia perkara besar,” katanya.

Malah, Muhyiddin berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) tentu telah mendapat notifikasi tentang pergerakan jumlah wang yang besar masuk ke akaun beliau dan siasatan telah dimulakan sejak lebih setahun yang lalu namun tiada apa yang berlaku.

Muhyiddin menambah, dakwaan beliau menghalang siasatan adalah tidak benar kerana beliau telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri lebih setahun yang lalu.

“Selain itu, kalau hal ini berlaku sekalipun, sudah tentu Pak Mat, Pak Jusoh, Mak Piah di kampung sedar wang yang sepatutnya mereka terima tak masuk ke dalam akaun mereka. Cuba tanya mereka. Dapat ke tidak duit itu.

“Tanya juga En Salim, Mr Lim, Mr Kumar mereka terima atau tidak subsidi upah yang disalurkan kepada syarikat-syarikat mereka. Kalau semua dapat, mana mungkin wang itu diseleweng oleh saya?” soalnya.

Beliau menjelaskan, negara ini mempunyai sistem dan amalan yang standard untuk menjamin ketelusan dan akauntabiliti dalam perbelanjaan wang kerajaan.

Muhyiddin memberitahu, kesemua perbelanjaan kerajaan adalah tertakluk kepada audit dan jika terdapat penemuan audit yang mencurigakan, teguran audit boleh dibuat terhadap jabatan kerajaan yang berkenaan.

“Jika terdapat salah laku rasuah atau penyelewengan, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap si pelaku.

“Saya percaya pihak Kementerian Kewangan Malaysia khususnya Agensi LAKSANA mempunyai setiap butiran perbelanjaan bagi semua lapan Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilaksanakan semasa saya menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau turut berpesan kepada ahli-ahli politik Pakatan Harapan (PH) dan UMNO agar jangan asyik menuding jari kepada orang lain dengan menuduh yang bukan-bukan semata-mata untuk menutup kelemahan kerajaan yang baru berusia beberapa hari ini yang kelihatan masih belum ada idea bernas untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Awak dah jadi kerajaan, bertindaklah seperti kerajaan. Sudah-sudahlah bermain wayang politik kerana rakyat mahu lihat apa perancangan kerajaan untuk mereka,” katanya. – MalaysiaGazette