Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali (tengah) berbual dengan sebahagian NGO ketika mengadakan perjumpaan bersama rakan NADMA di Markas Pasukan Smart, Puchong. Foto FAREEZ FADZIL, 15 DISEMBER 2022.

PUCHONG – Risiko kegagalan menguruskan bencana banjir tidak boleh disalahkan hanya kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) semata-mata.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, orang ramai perlu memahami tanggungjawab itu merentasi pelbagai peringkat termasuk jawatankuasa negeri dan daerah.

“Perlu diingat, sebenarnya kita mempunyai tiga peringkat jawatankuasa iaitu di peringkat pusat diurus oleh Nadma, peringkat negeri dipengerusi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan daerah oleh Pegawai Daerah tersebut.

“Tanggungjawab itu bukan hanya kepada Nadma semata-mata tapi ia merentasi pelbagai peringkat,” katanya pada sidang media di sini hari ini bagi menjawab dakwaan Nadma yang dilihat gagal mengurus banjir besar di Selangor tahun lalu.

Datuk Armizan Mohd Ali

Rentetan itu, Armizan berkata, terdapat penambahbaikan bagi menangani insiden sama berulang dengan menambah proses simulasi dalam modul pengurusan bencana.

“Antara penambahbaikan yang kita mulakan 2022 ini adalah proses simulasi pengurusan bencana. Kita juga melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) di lapangan. Ini penting agar bukan sahaja mereka tahu manual operasi, namun dapat melaksanakan simulasi keadaan sebenar sebagai langkah bersiap-siaga khususnya di kawasan hotspot banjir,” ujarnya.

Tambah beliau,  satu dasar akan digubal bagi merangka polisi induk untuk merangkumkan sebarang inisiatif pengurusan bencana khususnya banjir yang akan dinamakan sebagai Dasar Pengurusan Bencana Negara.

Tambahnya, dasar itu masih dalam perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk NGO yang mempunyai kepakaran menguruskan bencana di peringkat antarabangsa agar ia dirangka dengan realiti situasi sebenar.

Setakat ini, Monsun Timur Laut yang bermula awal November sehingga semalam telah melibatkan 12,097 mangsa daripada 3,344 keluarga yang ditempatkan di 162 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di 11 negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast