SUNGAI BULOH – “Saya harap dia selamat walaupun sampai sekarang tidak tahu di mana?”
Itu harapan seorang ayah terhadap salah seorang daripada dua anaknya yang menjadi mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan, Father’s Organic Farm, Batang Kali yang masih belum ditemuinya.
“Yang satu belum tahu lagi, tidak tahu selamat atau tidak? Saya dapat tahu dua anak saya adalah antara mangsa kejadian pada 8 pagi tadi.
“Saya susah hati sebab dari pagi sampai sekarang belum jumpa,” katanya kepada pemberita.
Hanya mahu dikenali sebagai Choo, warga emas itu berkata, anak perempuannya sedang dirawat di Hospital Selayang manakala seorang lagi anak lelakinya berusia 32 tahun masih belum ditemui.
“Ada orang nampak lagi seorang sudah naik ambulans dari tempat kejadian tapi tidak tahu betul atau tidak dan tidak tahu ditempatkan di mana sebab itu saya ke Hospital Kuala Kubu Baru, Hospital Selayang, cari di sini (Hospital Sungai Buloh) pun tidak jumpa,” tambahnya.
Terdahulu, Choo yang berusia 60 tahun tiba di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh untuk mencari salah seorang lagi anaknya yang turut menjadi mangsa kejadian tanah runtuh pada awal pagi tadi.
Beliau kelihatan sugul dan bimbang keselamatan salah seorang anaknya itu telah mencari anak lelakinya itu di beberapa buah hospital termasuklah Hospital Kuala Kubu Baru dan Hospital Selayang.
Namun sehingga kini beliau masih tidak menjumpai anaknya ditempatkan di mana-mana hospital berkenaan.
Choo yang enggan berputus asa berharap salah seorang anaknya itu akan ditemui dalam keadaan selamat.
Perkembangan terkini melaporkan, seramai 12 lagi mangsa kejadian tragedi tanah runtuh di Batang Kali masih belum ditemui.
Sehingga kini misi mencari dan menyelamat masih diteruskan sehingga esok. – MalaysiaGazette