Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepda media selepas meninjau keadaan tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 16 DISEMBER 2022.

HULU SELANGOR – Kerajaan akan menunggu laporan awal daripada polis dan bomba terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa khas siasatan tragedi tanah runtuh di Jalan Batang Kali- Gentig Highlands.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan itu perlu untuk menentukan sama ada berlaku kecuaian manusia sehingga lebih 21 orang terkorban akibat tertimbus dalam runtuhan tanah.

“Sebelum mempertimbangkan cadangan untuk tubuh jawatankuasa menyiasat tentang kejadian ini bagi menentukan sama ada berlaku kesilapan manusia, kita akan menunggu laporan awal berkaitan kejadian ini daripada Ketua Polis Negara dan pihak bomba serta semua pasukan yang terlibat dalam siasatan serta misi mencari dan menyelamatkan mangsa tertimbus.

“Saya tidak mahu mendahului laporan agensi-agensi mereka dan biar kita tunggu hasil laporan awal pihak berkuasa,” katanya selepas melawat dan meninjau perkembangan terkini misi mencari dan menyelamat mangsa di lokasi kejadian malam ini.

Justeru Anwar menegaskan beliau tidak mahu mendahului siasatan dan laporan agensi-agensi berkenaan.

“Biar kita tunggu sekejap dan saya akan menerima, meneliti serta memerhatikan segala laporan berkaitan tragedi berkenaan. Setelah meneliti segala laporan siasatan kejadian itu, saya akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Dalam masa sama, beliau melahirkan rasa sedih terhadap nasib yang menimpa semua mangsa yang terlibat termasuk anak-anak kecil.

Beliau menghargai semangat anggota bomba yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) dalam keadaan berisiko di lokasi kejadian lebih 24 jam tanpa henti.

“Apabila saya bertanya kepada pegawai bomba mengenai risiko yang dihadapi di lokasi kejadian, saya terkesan dengan jawapan beliau yang mana keadaan dan risiko cuaca tidak menentu dan keadaan hujan mempengaruhi operasi mereka.

“Operasi mencari dan menyelamatkan baki mangsa yang masih tertimbus dalam runtuhan akan diteruskan 24 jam sehingga esok oleh pasukan SAR bersepadu yang bekerja keras siang malam sejak pukul 3 pagi Jumaat,” katanya. – MalaysiaGazette