ADALAH menjadi suatu kebiasaan atau lumrah apabila seorang manusia itu cenderung untuk bertindak mengikut naluri atau perasaan masing-masing terhadap sesuatu peristiwa yang telah terjadi. Begitu juga dalam keadaan berhadapan dengan sesuatu situasi, atau keperluan untuk menangani sebarang persoalan yang timbul hasil dari situasi tersebut. Namun, naluri dan perasaan yang disertai dengan hemat fikiran yang bijaksana, lazimnya akan membuahkan hasil yang bagus dari sudut perbuatan atau tindakan selanjutnya oleh seseorang.
Sebagai manusia, perasaan “kecewa” adalah suatu tindak balas yang normal apabila menerima sesuatu berita yang tidak mengikut keinginannya, atau mendapat sesuatu yang tidak mengikut kehendaknya. Mengambil iktibar dari keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini, bukanlah suatu jenaka jika ada yang berasa kecewa dengan keputusannya, walhal situasi itu harus dihormati bagi mereka yang disinggung dengan perasaan kecewa tersebut.
Namun begitu, berapa lama harus dilayani perasaan kecewa tersebut? Ini kerana, hasil dari kekecewaan tersebut akan timbulnya kecenderungan untuk berasa “keliru” terhadap natijah yang berlaku. Oleh itu, persoalannya adalah bagaimana untuk mengatasi situasi tersebut agar diri seseorang tidak terus hanyut dibuai dengan perasaan kecewa dan keliru itu, dengan harapan perasaan-perasaan tersebut akan beransur hilang buat selama- lamanya.
Tidak salah untuk meletakkan takdir suratan Ilahi itu sendiri sebagai paksi kekuatan diri, namun perlu ditangani dengan akal yang bijaksana, samada sebagai rakyat atau pengundi biasa atau sebagai ahli-ahli dan para pemimpin parti-parti politik. Ini kerana hambatan perasaan kecewa dan keliru itu harus ditangani kerana kita perlu melangkah ke hadapan, dan cuba untuk melihat apa yang telah terjadi dalam konteks yang lebih besar dan masa hadapan yang lebih cerah.
Oleh itu, di sinilah terletaknya kebijaksanaan kita untuk tahu di mana hendak di”kalih”kan perasaan ketidakpuasan hati yang menghimpit seseorang hasil dari keputusan PRU15 tersebut. Tindakan “kalih” yang perlu dilakukan oleh seseorang yang masih kecewa itu tidak terhenti setakat keputusan PRU15 sahaja, tetapi merangkumi kepada pelantikan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri atau Kerajaan Perpaduan yang telah tertubuh berikutan keputusan muktamad tiada parti yang mendapat majoriti, dan apa jua kesinambungannya selepas itu.
Sebagai suatu bentuk muhasabah diri terhadap apa yang telah berlaku, mungkin dapat ditanamkan dalam fikiran kita Rukun Negara yang kita pegang selama ini sebagai suatu bentuk kalihan yang mudah tetapi padat yang boleh memujuk dan memupuk diri untuk terus melangkah ke hadapan dengan lebih maju:
RUKUN NEGARA:
1) KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
2) KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
3) KELUHURAN PERLEMBAGAAN
4) KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
5) KESOPANAN DAN KESUSILAAN.
Mudah-mudahan pandang ke hadapan mengiringi pemikiran kita selaku apa jua peranan kita dalam negara yang tercinta ini.
Oleh: Dr. Madiha Baharuddin
Program Sains Gunaan Dengan Pengajian Islam
Akademi Pengajian Islam