Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Majlis Pengumuman Calon Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa perjanjian persefahaman (MoU) oleh gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak berperlembagaan.

Malah, beliau juga melihat  klausa yang mewajibkan Ahli-ahli Parlimen dari parti gabungan untuk mengundi usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sesuatu yang serius.

Katanya, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka kehilangan kerusi Parlimen yang disandang juga tidak sepatutnya berlaku.

“Perjanjian ini adalah bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki Ahli-ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusi hanya apabila mereka melompat parti.

“Undang-undang anti lompat parti tidak menghalang hak dan kebebasan Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengundi di Dewan Rakyat.

“Tidak ada mana-mana bahagian dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki seorang Ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusinya jika beliau tidak menurut arahan parti dalam pungundian mana-mana usul atau rang undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhyiddin merujuk kepada Klausa 4 MoU itu di mana kesemua Ahli Parlimen wajib menyokong Perdana Menteri dalam mana-mana usul kepercayaan atau rang undang-undang bekalan atau mana-mana usul berkaitan kepercayaan kerajaan PH-BN.

Malah dalam Klausa 4(b) pula, sekiranya mana-mana Ahli Parlimen kerajaan yang gagal mengundi sebagaimana yang telah diarah, mereka akan dianggap telah mengosongkan kerusi Parlimen mereka berdasarkan Artikel 49A Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata MoU berkenaan turut menunjukkan Anwar tidak yakin beliau akan mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Sekiranya beliau yakin, maka tidak perlulah beliau mengambil tindakan yang tidak berperlembagaan ini.

“Lebih daripada itu, saya bimbang sekiranya perjanjian ini dianggap sah, maka kerajaan pimpinan PH akan memaksa Ahli-Ahli Dewan Rakyat mereka mengundi usul-usul atau rang undang-undang lain pada masa akan datang, termasuk yang berkaitan dengan pindaan perlembagaan.

“Ini kerana, sepertimana yang didakwa oleh Perdana Menteri, beliau telah pun mempunyai sokongan 148 Ahli Dewan Rakyat, iaitu genap majoriti 2/3 Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang membolehkan pindaan perlembagaan dibuat,” katanya lagi.

Semalam, empat gabungan politik memeterai perjanjian bersama PH bagi tujuan memperkukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dipimpin Anwar.

Semua gabungan politik itu diwakili pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, manakala PH, diwakili Anwar sebagai Pengerusinya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Kebiasaanya hanya kongi gelap sahaja yg membuat perjanjian2 utk taat setia kepada ketua mereka. Jika ada ahli yg keluar dari kongsi gelap tersebut mereka akan dihukum? Adakah negara kini bergerak kearah yg salah dari amalan demokrasi sebenar?

  2. Elok berhati2 dgn amalan kongi gelap/komunisma/ditaktor yg berselindung disebalik nama demokrasi? Ini hanyalah nasihat rakyat jelata yg mahukan negara bergerak selari dgn amalan demokrasi sebenar.

Comments are closed.