Ahli Keluarga Mangsa, Beh Su Lee (tengah) tidak menahan sebak elepas membuat tuntutan mayat anak, menantu, dan dua cucunya yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, di Hospital Sungai Buloh,Selangor. Foto MUHD NA’IM, 18 DISEMBER 2022.

SUNGAI BULOH – Sebanyak 22 mangsa korban tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali yang ditempatkan di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini, telah dibawa keluar untuk urusan selanjutnya.

Empat mayat dibawa keluar dengan menggunakan dua buah van jenazah milik Pusat Peringatan Nirvana dengan setiap van membawa dua mayat serentak.

Masih terdapat dua lagi mayat yang belum dituntut oleh waris masing-masing dengan jumlah keseluruhan korban yang dihantar ke jabatan itu untuk menjalani bedah siasat sebanyak 24 mangsa.

Terdahulu pagi tadi, mayat ke-16 dan ke-17 dibawa keluar dengan menggunakan van jenazah milik Pusat Peringatan Nirvana antara pukul 10.25 pagi hingga 11.17 pagi.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi turut hadir di jabatan itu kira-kira jam 10.50 pagi.

Difahamkan kehadiran beliau adalah untuk bertemu keluarga mangsa dan mendapatkan data sebelum ke Batang Kali untuk melawat lokasi kejadian.

Kenderaan membawa beliau dilihat meninggalkan kawasan jabatan berkenaan kira-kira pukul 11.20 pagi.

Kesemua 24 mayat mangsa tragedi itu sudah dihantar ke Jabatan Forensik HSB, setakat semalam.

Petugas media yang menunggu di pekarangan jabatan itu bagaimanapun tidak dimaklumkan oleh pihak HSB mengenai sebarang maklumat terkini berhubung mayat mangsa yang dibawa ke hospital berkenaan.

Sementara itu, seorang waris mangsa dari Sabak Bernam, Beh Su Lee, 59, ketika ditemui media memberitahu, kehadirannya ke jabatan itu adalah bagi membuat pengecaman terakhir dan menuntut jenazah seorang ahli keluarganya.

Katanya, sejak semalam, dia telahpun menuntut tiga mayat ahli keluarganya yang terdiri daripada seorang anak, seorang menantu dan dua orang cucu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast