Foto: Sim Chon Siang

KUANTAN – Dua pemuda warga Malaysia yang berjaya menyelamatkan diri daripada sindiket pemerdagangan manusia di Myawaddy, Myanmar bakal dibawa pulang tidak lama lagi.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Sim Chon Siang yang kini berada di Bangkok, Thailand bagi pengurusan proses membawa mereka pulang berkata, mangsa lelaki yang berusia 21 dan 19 tahun itu berasal dari Parit Raja, Johor.

“Mereka berjaya melarikan diri dan diselamatkan oleh PDRM, Thailand Security Liaison Officer dan seorang warga Malaysia yang telah menetap selama 18 tahun di sini dan banyak membantu dalam segala urusan menyelamat mangsa-mangsa pemerdagangan manusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sim berkata, kedua-dua remaja lelaki itu telah melalui penderaan mental dan fizikal, diugut dan tidak diberikan makanan ketika ditahan sindiket terbabit.

Beliau memberitahu, kedua-dua mangsa itu dijumpai di daerah Maesot yang terletak di sempadan Thailand/Myanmar dan membawa mereka ke Bangkok untuk urusan dokumentasi.

“Kemungkinan saya akan kembali ke Malaysia bersama mangsa pada hari Selasa, 20 Disember 2022,” katanya. – MalaysiaGazette