V. Ruventhiran. Foto Facebook Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Tonggak pertahanan skuad Harimau Malaya, V. Ruventhiran menjadi pemain baharu pertama yang ditandatangani pasukan Selangor FC bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.

Kehadiran Ruventhiran yang mewakili skuad Petaling Jaya City (PJ City) diibaratkan sebagai ‘sirih pulang ke gagang’ memandangkan beliau merupakan bekas pemain pembangunan Gergasi Merah.

Bek kiri berusia 21 tahun itu mengakui bangga dapat menyarung jersi keramat Merah Kuning kendalian Tan Cheng Hoe tahun depan dan berjanji untuk mencurahkan kudrat seratus peratus di atas padang.

Anak jati kelahiran Klang, Selangor ini sebelum ini pernah mewakili skuad Piala Belia Se­langor pada 2019 dan dinaikkan pangkat ke Piala Presiden tahun berikutnya sebelum berhijrah ke PJ City pada musim 2021.

Ruventhiran yang ketika ini bersama skuad kebangsaan untuk mengharungi Piala AFF 2022 tidak dapat meneruskan karier bersama The Phoenix selepas kelab itu menarik diri daripada bersaing dalam Liga M tahun depan. – MalaysiaGazette