Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R Ramanan

KUALA LUMPUR – Datuk R Ramanan yakin usul undi percaya serta sokongan yang di pamerkan oleh Ahli Parlimen hari ini terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menstabilkan kestabilan kerajaan perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, usul itu mampu menjadi titik noktah kepada kemelut politik yang berlarutan sejak Pilihan Raya Umum ke-14.

“Sekurang-kurangnya ini mampu menyelamatkan kerajaan ini daripada disabotaj oleh mana-mana pihak malah selepas ini, kerja kami (Ahli Parlimen) adalah lebih fokus dalam membantu rakyat menangani pelbagai isu menyelubungi mereka dan bukan berpolitik sahaja.

“Perdana Menteri telah berjaya membuktikan sokongan terhadapnya, ini juga adalah titik noktah bagi kerajaan ini untuk terus mentadbir negara secara aman untuk lima tahun akan datang.

“Kita dapat buktikan Kerajaan Perpaduan mempunyai kerjasama dari pelbagai pihak dan Perdana Menteri juga ada mengatakan, apa-apa perselisihan faham dan atau perbincangan yang perlu diadakan, perlu dibawakan oleh ketua-ketua parti untuk mendapat keputusan yang kolektif,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Kata Ramanan, sokongan terhadap usul itu merupakan kemenangan kepada rakyat apabila kerajaan dapat memberi tumpuan kepada isu-isu rakyat.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas usul percaya dibentangkan di Dewan Rakyat petang tadi.

Usul percaya itu bertujuan membuktikan Anwar dari PH, yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu mendapat sokongan Ahli Parlimen bagi memimpin kerajaan baharu selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah. – MalaysiaGazette

Parlimen lulus usul undi percaya kepada Anwar sebagai PM