dukungan majoriti
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Majlis Parlimen ke 15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Parlimen hari ini meluluskan usul percaya kepada Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bagi penggal Parlimen Penggal Kelima Belas.

Usul yang diluluskan secara undian suara itu dibuat selepas 12 Ahli Parlimen membahaskan usul yang dibawakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof kira-kira pukul 3.07 petang.

Ahli Parlimen yang membahaskan usul itu termasuk Ahli Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ketua Pembangkang; Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Moktar Radin.

Undian secara suara dilakukan sebaik sahaja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said membuat penggulungan.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Johari Abdul mengumumkan usul undi percaya diluluskan selepas undi secara suara dilakukan.

Sementara itu Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai dalam sidang media berkata, dengan kelulusan undi tersebut Anwar telah mendapat sokongan 148 ahli Parlimen.

Katanya, pihak Perikatan Nasional (PN) akan terus membuat pertikaian berhubung perjanjian persefahaman yang telah ditandatangani oleh lima parti dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Apa pun yang saya ingin jelaskan selepas selesai isu politik ini tidak ada lagi polemik. Sekarang kita fokus isu rakyat dan selesaikan kita bangunkan ekonomi.

“Jelas bagi saya bila kita buat undian tadi sebulat suara telah memberi sokongan kepada Perdana Menteri maka segala hujah yang mereka bawa semua tidak boleh dipakai.

“Maka Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang ini berdiri teguh dan utuh. Kita akan fokus kepada nasib rakyat,” kata Fahmi.

Sementara itu Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan tidak ada sebarang angka undian terhadap usul berkenaan.

Ahli Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) dan Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, parti itu tidak mahu undian dijalankan terhadap usul yang dibahaskan lebih tiga jam itu.

“Kita tidak minta undi sebab kita tidak mengundi. Biasanya bila kita mahu tahu undi yang hendak diberi maka kita mintalah undi belah bahagian. Kita tidak minta dan pihak belah sana juga tidak minta.

“Kita tidak tahu sebab apa dia minta. Itu dia punya pasal. Kes sudah selesai. Tiada angka daripada usul ini,” tegas beliau dalam sidang akhbar. – MalaysiaGazette