Wan Ahmad Uzir melihat ciptaan jurutera yang mengambil bahagian dalam pameran pada program Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2022 di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Jalan Batang Kali – Gohtong Jaya, tempat berlakunya tragedi tanah runtuh yang meranapkan tiga tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada awal pagi Jumaat lalu ditutup selama setahun bagi kerja-kerja pemulihan cerun.

Meskipun kejadian tanah runtuh itu tidak menjejaskan jalan terbabit namun, bagi mengelak sebarang risiko, ia perlu di tutup, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Wira Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Bagaimanapun beliau berkata, JKR ada membuat jalan alternatif untuk laluan pengguna di kawasan terjejas.

“Jalan tu sebenarnya ok, tapi kita tak berani, oleh sebab itu, kita masih tutup hinggalah pembaikan cerun dibuat.

“Biasanya pembaikan cerun setahun baru siap…tapi buat masa ni kita ada jalan alternatif… jalan alternatif akan dibuat oleh JKR,” katanya ketika ditemui selepas Program Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2022 di sini, hari ini.

Beliau mewakili Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Mengulas mengenai kejadian tanah runtuh, Wan Ahmad Uzir berkata, ia berlaku disebabkan terdapatnya aliran air bawah tanah yang wujud secara semula jadi.

Katanya, berdasarkan siasatan oleh JKR, tiada sebarang aliran pengairan haram daripada pemilik tapak perkhemahan berkenaan.

Kelmarin, JKR berkata, siasatannya mendapati, dua runtuhan cerun berlaku dalam sela masa 20 hingga 30 minit di lokasi kejadian tanah runtuh telah meranapkan tiga tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada awal pagi Jumaat lalu.

Dapatan awal itu diperoleh Pasukan Forensik dari Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR yang melaksanakan pemeriksaan awal di lokasi kejadian.

Pemeriksaan visual pada lokasi jalan dan cerun di seksyen berkenaan mendapati longkang jalan sedia ada dalam keadaan bersih dan kering serta tidak tersumbat, yang mana menunjukkan tiada masalah pada sistem perparitan jalan.

Tambah jabatan itu, berdasarkan hasil penemuan itu, adalah dijangka ketepuan tanah dan tekanan air liang tanah yang tinggi akibat pengumpulan air bawah tanah pada bahagian bawah cerun di kawasan perkhemahan telah melemahkan kaki cerun jalan B66 dan seterusnya menyebabkan kegagalan retrogresif kepada cerun jalan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast