Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam ketika bercakap pada sidang media selepas selesai Majlis Seminar Kebangsaan Pengilangan Minyak Sawit, Penapisan, Alam Sekitar dan Qualiti (POMREQ) di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Putrajaya digesa untuk mencari alternatif negara sumber lain bagi mendapatkan tenaga pekerja asing.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, sudah tiba masanya untuk Malaysia mencari negara sumber lain, selain Indonesia dan India bagi membekalkan tenaga kerja sektor peladangan dan komoditi.

“Sebelum ini kita ada hanya satu,dua negara yang menjadi tumpuan, tapi saya rasa sekarang kita tidak boleh meletakkan terlalu banyak harapan kepada negara sama, kita kena pelbagai (negara sumber).

“Kita mengharapkan industri melabur lebih banyak dalam mekanisasi walaupun daripada penunaian buah ini masih lagi banyak cabaran, kita masih mencari teknologi yang paling sesuai, walau bagaimanapun dari segi memungut buah, meracun sudah banyak teknologi dan jentera,” katanya.

Ahmad Parveez berkata demikian dalam sidang media selepas Seminar Kebangsaan mengenai Persekitaran dan Kualiti Penapisan Pengilangan Kelapa Sawit di ibu negara pagi tadi.

Seminar itu dirasmikan Ketua Setiausaha kementerian Perladangan da Komoditi, Datuk Zurinah Pawanteh yang mewakili menterinya, Datuk Fadillah Yusof.

Sebelum ini, negara dilaporkan kerugian lebih RM29 bilion apabila sektor agrikomoditi hanya menyumbang RM160.6 bilion sehingga suku ketiga tahun ini berbanding RM189.8 bilion setakat November tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof dalam ucapannya berkata, terdapat pelbagai faktor yang mengakibatkan penurunan jumlah eksport komoditi itu, antaranya ketiadaan pekerja asing.  – MalaysiaGazette