Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Majlis Parlimen ke 15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan pernah membuat permohonan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong atas tuduhan liwat yang disabitkan ke atas beliau.

Sebaliknya Anwar berkata, Sultan Muhammad V berkenan untuk menelefon sendiri untuk memberikan pengampunan kepada diri beliau yang pada ketika berada di pusat rehabitasi.

Menurut Presiden PKR tersebut, dalam perbualan telefon berkenaan, Sultan Muhammad V sendiri memaklumkan bahawa baginda tidak percaya terhadap tuduhan yang dilemparkan ke atas beliau.

Anwar menjelaskan perkara itu dalam Dewan Rakyat hari ini selepas beberapa ahli Parlimen menimbulkan isu pengampunan terhadap dirinya semalam.

“Soal pengampunan penting, yang mengambil inisiatif adalah Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu, yang menelefon saya, semasa saya di pusat rehabilitasi.

“Menelefon menyatakan, ‘Saya (Sultan Muhammad V) akan memberi pengampunan penuh kerana saya (Sultan Muhmmad V) mengikuti perkembangan perbicaraan saudara.

“Saya quote perkataan diguna Yang di-Pertuan Agong, travesty of the justice atau pelanggaran prinsip keadilan. Oleh demikian saya (Sultan Muhammad V) beri pengampunan penuh sesegera mungkin, yang perdana menteri pada itu menangguh sehingga 10 hari,” kata Anwar.

Pada April 1999, Anwar dijatuhi hukuman penjara enam tahun atas tuduhan rasuah, dan pada Ogos 2000 beliau dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun kerana kesalahan liwat.

Pada 2004, beliau dibebaskan selepas sabitan liwatnya dibatalkan tetapi pembebasannya dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Mac 2014.

Beliau kemudian menerima pengampunan diraja dan dibebaskan pada 2018 sebaik Pakatan Harapan mentadbir negara.

“Ini saya perlu jelaskan keabsahan dan secara moral. Saya tidak memohon pengampunan kerana saya diugut.

“Kita bantah kehakiman yang melanggar prinsip hukum, mengadakan, membuat pertuduhan peristiwa di bangunan yang belum ada.

“Dan memaksa orang menjadi saksi, atau mengambil siasatan sebelum laporan polis dibuat,” tegas Anawar.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.