KUALA LUMPUR – Konsortium Syarikat Pertengahan Malaysia (MCMTC) merayu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengkaji semula kenaikan elektrik seperti yang diumumkan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar & Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad baru-baru ini.
Presidennya, Callum Chen berkata, rayuan ini dibuat kerana pelarasan tarif elektrik yang diumumkan adalah peningkatan besar sebanyak 440 peratus, bukannya kenaikan beransur-ansur yang diumumkan Perdana Menteri pada 15 Disember lalu.
Menurutnya, kenaikan besar itu memberi impak luar biasa kepada para pemain syarikat peringkat pertengahan.
”MTC, sama seperti perusahaan kecil dan sederhana telah dilanda peningkatan kos dalam bentuk gaji minimum yang lebih tinggi, kekurangan buruh, kenaikan harga bahan mentah yang besar dan kenaikan kadar faedah bank.
”Pada masa yang sama, kami menanggung kos pematuhan tambahan semasa kami berusaha untuk mengatasi persaingan global luar yang sengit, daripada pengeksport China, yang mengurangkan harga untuk memastikan kilang mereka beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Chen berkata, MTC memerlukan lebih banyak masa untuk pulih dan mendapatkan semula kekuatan, apatah lagi tahun 2023 dilaporkan memberi cabaran kepada ekonomi.
Berbanding TNB, katanya, syarikat utiliti ini beroperasi dalam persekitaran yang dilindungi.
Sebagai pemain tunggal, TNB tiada pesaing lain dalam pasaran ini dan prestasi Tahun Kewangan sembilan bulan pertama 2022 juga baik.
”Walaupun persekitaran kos harga bahan api yang tinggi sekarang, mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) di bawah Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) membenarkan TNB untuk kekal neutral kerana kumpulan ini melalui sebarang variasi dalam kos penjanaan dalam bentuk rebat atau surcaj.
”Ia membuatkan kita tertanya-tanya jika, tanpa industri pengilang dan pengeksport yang bekerja keras adakah prestasi TNB dapat mencapai seperti yang dilaporkan iaitu hasil kumpulan tanpa pemulihan kos bagi ICPT untuk tempoh meningkat sebanyak 6.6% kepada RM37.95 bilion daripada RM35.59 bilion, disebabkan peningkatan dalam jualan elektrik TNB dalam semua sektor?,” soalnya.
Oleh itu, MCMTC merayu kepada Perdana Menteri untuk mempertimbangkan semula kenaikan mendadak kadar surcaj kepada 20 sen/kWj daripada RM0.037 berkuat kuasa 1 Januari hingga 30 Jun 2023. – MalaysiaGazette