Acryl Sani Abdullah Sani

PUTRAJAYA – Polis kini dalam proses memadankan maklumat data berkaitan baki mangsa yang hilang dalam insiden runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di Batang Kali yang berlaku awal pagi Jumaat lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pemadanan itu dibuat melalui laporan polis yang dibuat ahli keluarga waris mangsa terlibat sejak lima hari lalu.

“Kita yakin akan ada waris yang tampil ke balai memaklumkan ahli keluarga mereka tidak dapat dikesan dan dipercayai hilang.

“Kita masih tunggu lepas ini akan padankan dan maklumkan angka sebenar yang kita percaya masih lagi hilang.

“Semalam kita jumpa jasad dan difahamkan bomba ada beberapa petunjuk telah dikesan dan dimuktamadkan lagi.

“Pagi ini usaha diteruskan untuk kenal pasti bilangan dan membawa mereka keluar dari tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran Misi Bantuan Banjir Ke Pantai Timur anjuran Kementerian Dalam Negeri dan Yayasan Food Bank di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Lewat malam tadi, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor menemui mangsa yang ke-25 iaitu seorang kanak-kanak perempuan di sektor C.

Ketika ini, seramai 94 orang mangsa yang terlibat dengan kejadian runtuhan itu di mana 61 orang selamat dan cedera manakala 25 orang meninggal dunia.

Daripada 25 mangsa yang meninggal dunia itu, seramai lima orang adalah kanak-kanak lelaki, tiga kanak-kanak perempuan, 13 wanita dan empat lelaki.

Mengulas banjir di Pantai Timur, Acryl Sani memberitahu, terdapat beberapa balai polis yang terdedah dengan bencana itu apabila satu balai masing-masing di Terengganu dan Kelantan terdapat balai dinaiki air.

Namun jelas beliau keadaan premis tidak teruk seperti banjir sebelum ini.

“Bilangan keseluruhan akan dikenal pasti dan polis mengambil langkah untuk memastikan dokumen penting dan peralatan mudah terjejas akibat air akan dialihkan ke tempat selamat.

“Kita telah mengaturkan bantuan tenaga manusia ke tempat-tempat dilanda banjir.

“Setakat ini kontijen mengggunakan elemen di kontigen masing-masing dan sekarang teruk dilanda sekarang di Kelantan dan Terengganu.

“Setakat malam tadi, mangsa banjir melibatkan 71, 000 orang dan kita masih mampu memberi bantuan kepada mangsa banjir dari segi bantuan anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam untuk alih mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara bagu menyelaras kerja untuk selamatkan dan memastikan pergerakan tenaga bantuan dijalankan dengan baik,” katanya. – MalaysiaGazette