Seorang pembantu restoran dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk didakwa atas tuduhan mencabul perempuan dalam lif di Taman Metropolitan Kepong. Foto AFFAN FAUZI, 22 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang pembantu restoran dijatuh hukum penjara sebulan dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas di dapati bersalah kerana mencabul kehormatan dan menunjukkan kemaluan kepada wanita.

Majistret Nuzul Izzah Shaharuddin menetapkan keputusan itu selepas tertuduh Yap Jian Sheng yang berusia 24 tahun mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah juga memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula kelmarin iaitu hari tangkapan dan akan dipenjara tiga minggu lagi jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan menggunakan kekerasan jenayah dengan mencabul kehormatan seorang wanita warga asing berusia 27 tahun.

Trtuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Jian Sheng juga didakwa melakukan perbuatan lucah dengan menunjukkan kemaluan yang mendatangkan kegusaran kepada seorang wanita berusia 26 tahun.

Kesalahan mengikut Seksyen 294(a) KK yang memperuntukkan penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-keduanya.

Dua kesalahan terbabit dilakukan di sebuah residensi sama di Kepong, Sentul, pada jam 2 pagi dan 1.30 pagi masing-masing 14 serta 19 Oktober lalu.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diana Mohamad Saad telah memohon hukuman berat dan setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Kata Nur Diana, tindakan tertuduh juga telah menyebabkan mangsa trauma dan takut walaupun insiden itu berlaku pada Oktober lalu, namun mangsa masih ingat sehingga kini.

“Tertuduh bukan saja mengancam keselamatan mangsa, namun kepada masyarakat secara menyeluruh,” hujahnya.

Jian Sheng yang tidak diwakili peguam meminta hukuman minimum kerana perlu menanggung keluarga serta hanya kerja di restoran selain tinggal di rumah majikan.

“Bapa sakit dan tak bekerja, manakala ibu hanya seorang penjaja. Saya minta denda dan hukuman dikurangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Jian Sheng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua lagi pertuduhan amang seksual membabitkan dua remaja perempuan.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal dengan memeluk dan menyentuh kemaluan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun.

Dengan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Jian Sheng juga didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menunjukkan kemaluan kepada seorang remaja perempuan berusia 13 tahun.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 15 (a) (i) akta sama yang membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Dua kesalahan berkenaan dilakukan di sebuah residensi sama di Kepong, Sentul, pada jam 6.30 petang dan 8.30 malam masing-masing 11 Oktober dan 25 November lalu.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin, memohon tertuduh tidak diikat jamin kerana mendatangkan risiko kepada masyarakat.

Tertuduh bagaimanapun memohon diberi jaminan atas alasan sudah insaf.

Hakim Tasnim Abu Bakar kemudian tidak menetapkan sebarang jaminan dan sebutan kes seterusnya pada 31 Januari tahun depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast