PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Ekonomi menubuhkan sekretariat tetap untuk merangka pelan tindakan jangka pendek dan panjang dalam menangani kos sara hidup rakyat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, penubuhan sekretariat itu telah dipersetujui kedua-dua kementerian yang bermesyuarat pada hari ini.
Jelasnya, antara pelan jangka masa pendek dan panjang yang dibincangkan hari ini dan akan dirangka adalah data kumpulan sasaran, pemberian subsidi dan pendidikan kepada pengguna yang melibatkan interaksi di antara kerajaan dengan rakyat.
“Sekretariat Tetap ini bila-bila masa akan mengadakan pertemuan, mesyuarat, seminar atau bengkel seumpamanya supaya kita dapat bergerak ke hadapan dengan lebih efisien.
“Kita telah merangka pelan itu di antaranya kita perlu kepada pertukaran data, perlu melihat kumpulan fokus, pemberian subsidi dan pendidikan yang lebih ditumpukan kepada pengguna supaya antara kita iaitu kementerian dan rakyat saling berinteraksi supaya tidak ada salah faham dalam kita berusaha meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya kepada pemberita di kementeriannya, di sini, hari ini.
Tambah beliau, sekretariat tersebut diketuai Ketua Setiausaha bagi kedua-dua kementerian berkenaan.
Terdahulu, Salahuddin memaklumkan mesyuarat selama dua jam di antara kedua-dua kementerian berkenaan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Rafizi Ramli.
Mengulas lanjut katanya, bukan hanya KPDN dan Kementerian Ekonomi, malah 11 lagi kementerian yang berkaitan akan terlibat dalam usaha kerajaan merangka pelan bertindak menangani kos sara hidup rakyat.
“KPDN sedar untuk kita menggarap soalan meningkatkan kos sara hidup, kementerian tidak boleh bekerja bersendirian, kerana isu kos sara hidup merupakan agenda nasional misi besar Perdana Menteri yang mahu supaya Kerajaan Perpaduan ini fokus mengurus kos sara hidup rakyat,” tambah beliau.
Sementara itu Salahuddin berkata, status Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi diwujudkan kerajaan sebelum ini pada 29 Jun lalu masih belum diputuskan.
Beliau turut memberi jaminan, sehingga kini bekalan makanan di pasaran khususnya menjelang perayaan Krismas akan mencukupi. – MalaysiaGazette