Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Perasmian Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 (HPPK2022) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto AFFFAN FAUZI, 22 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu setiap projek pembangunan di bandar besar perlu menyediakan infrastruktur untuk penjaja dan peniaga kecil berniaga dah bukan semata-mata mengutamakan perniagaan besar sahaja.

Perdana Menteri memberi contoh, bandar raya seperti Kuala Lumpur tidak boleh meminggirkan penglibatan kemudahan bagi memacu ekonomi penjaja dan peniaga kecil yang turut mewakili golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinannya akan memastikan setiap kementerian mengamalkan pentadbiran yang merakyatkan ekonomi.

“Saya memilih program bersama penjaja dan peniaga kecil sebagai acara rasmi pertamanya, sebagai memberi gambaran bahawa fokus Kerajaan Perpaduan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan keutamaan kepada mencatat pembangunan kemajuan.

“Saya mahu kemajuan itu mestilah memberi manfaat kepada sebilangan besar rakyat yang berpendapatan rendah.

“Pagi tadi saya di Kementerian Wilayah Persekutuan (yang kini distruktur kepada Jabatan Wilayah Persekutuan), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), antara matlamat utama saya kita harus adakan anjakan dan ini terpakai juga untuk kementerian.

“Bahawa keindahan bandar raya Kuala Lumpur misalnya mesti disertakan dengan upaya berlebihan menyediakan tempat perniagaan bagi penjaja dan peniaga kecil seluruh Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2022 (HPPK2022) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan Kementerian Ekonomi, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Dalam pada itu, Ewon berkata, berdasarkan kajian yang telah dilakukan, 57.1 peratus perniagaan yang beroperasi di kawasan bandar yang telah gulung tikar sepanjang tempoh fasa pandemik Covid-19.

Daripada jumlah itu, kata beliau, sebanyak 91.8 peratus merupakan perniagaan milikan Bumiputera.

“Kita dapati bahawa lebih 97 peratus usahawan yang menyatakan hasrat untuk memulakan semula perniagaan mereka.

“Ini memerlukan bantuan kerajaan dalam bentuk geran, pembiayaan serta latihan dan bimbingan,” katanya.

Sementara itu, seramai 2,500 penjaja dan peniaga kecil dari seluruh negara hadir ke HPPK2022 anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

HPPK disambut pada 18 November setiap tahun dan ini merupakan tahun kesepuluh sambutan di peringkat kebangsaan.

Konvensyen HPPK2022 disertai rakan strategik KUSKOP seperti Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Gabungan Persatuan dan Penjaja Malaysia (G3PM), Yayasan Peniaga Kecil dan Penjaja Malaysia serta Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil India di negeri Selangor.

Perdana Menteri menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Peserta Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil kepada 16 orang penerima yang berjaya menunjukkan kemajuan memberangsangkan dalam perniagaan setelah mengikuti latihan melalui program keusahawanan anjuran KUSKOP.

Anugerah Khas Jasamu Dikenang diberikan kepada Allahyarham Datuk Ramli Norani iaitu mantan Presiden GPPPKMM dan juga ahli Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil (M3PK) sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam memperjuangkan nasib komuniti penjaja dan peniaga kecil di Malaysia sejak tahun 2012.
– MalaysiaGazette