BEIJING – Hospital di China penuh kembali di tengah-tengah kebimbangan gelombang baharu Covid-19 melanda negara itu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Dr Michael Ryan berkata, unit rawatan rapi (ICU) sibuk walaupun pegawai kesihatannya mengatakan jumlahnya “agak rendah”.
Angka China menunjukkan tiada siapa yang meninggal dunia akibat Covid pada hari Rabu tetapi terdapat keraguan tentang kesan sebenar penyakit itu.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, hospital di Beijing dan bandar-bandar lain telah dipenuhi apabila lonjakan Covid terbaharu melanda China.
Sejak 2020, China telah mengenakan sekatan kesihatan yang ketat sebagai sebahagian daripada dasar sifar Covid-19.
Tetapi, kerajaan menamatkan kebanyakan dasar itu dua minggu lalu selepas menerima banyak bantahan.
Jumlah kes sejak itu meningkat, menambah kebimbangan kadar kematian yang tinggi dalam kalangan warga tua, yang berisiko tinggi.
Walaupun meningkat, angka rasmi menunjukkan hanya lima orang meninggal dunia akibat Covid-19 pada hari Selasa dan dua kes pada hari Isnin.
Situasi itu mendorong Ketua Kecemasan WHO, Dr Ryan menggesa China untuk memberikan lebih banyak maklumat mengenai penyebaran terbaharu virus tersebut.
“Di China, apa yang dilaporkan adalah bilangan kes yang agak rendah di ICU, tetapi secara anekdot ICU sedang diisi.
“Kami telah mengatakan ini selama berminggu-minggu bahawa virus yang sangat berjangkit ini sentiasa akan menjadi sangat sukar untuk dihentikan sepenuhnya, hanya dengan langkah kesihatan awam dan sosial,” katanya.
Bercakap semasa sidang akhbar mingguan di Geneva Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, beliau “sangat prihatin terhadap situasi yang berkembang di China”.
Beliau merayu untuk mendapatkan data khusus mengenai keadaan penyakit, kemasukan ke hospital dan keperluan rawatan rapi.
Ryan menambah bahawa “vaksinasi adalah strategi keluar” kepada wabak koronavirus.
China telah membangunkan dan menghasilkan vaksinnya sendiri, yang telah terbukti kurang berkesan dalam melindungi individu daripada penyakit Covid-19 yang serius dan kematian berbanding vaksin mRNA yang digunakan di kebanyakan negara lain di dunia.
Ryan membuat kenyataan itu Kketika kerajaan Jerman mengumumkan pada hari Rabu untuk menghantar kumpulan pertama vaksin BioNTech Covid-19 ke China. – Agensi